Ahad, 21 Ogos 2016 | 9:47am

Manila tolak kehadiran penyiasat PBB

PEGAWAI polis melakukan siasiatan di tempat kejadian seorang pengedar dadah yang disyaki mati ditembak dalam satu operasi polis terhadap dadah di Manila, Filipina. - Foto EPA
PEGAWAI polis melakukan siasiatan di tempat kejadian seorang pengedar dadah yang disyaki mati ditembak dalam satu operasi polis terhadap dadah di Manila, Filipina. - Foto EPA

MANILA: Kerajaan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte terang-terangan menolak permintaan penyiasat hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk ke Filipina bagi menyiasat dakwaan pembunuhan di luar undang-undang.

Sejak operasi keras anti dadah dilancarkan, polis menembak mati 665 suspek manakala vigilante atau penegak undang-undang dengan cara sendiri membunuh 889 lain, kata Ketua Polis Filipina kepada Senat awal minggu ini.

Jumaat lalu, ketua penasihat undang-undang Duterte, Salvador Panelo mencabar wakil khas PBB mengenai hak asasi manusia untuk melawat Filipina dan menyiasat dakwaan itu.

"Saya mengalu-alukan jemputan daripada kerajaan ini dan menganggap ia membenarkan kami terbabit tanpa had dengan pihak berkuasa dan pelaku utama lain serta pihak berkepentingan yang berkenaan berhubung dakwaan pembunuhan di luar undang-undang," lapor wakil khas PBB, Agnes Callamard dalam satu e-mel.

Walau bagaimanapun, semalam jurucakap presiden Ernesto Abella menjelaskan jurucakap PBB sebenarnya salah mentafsir maksud sebenar komen Panelo berhubung jemputan ke Filipina dan menyiasat kematian yang berkaitan dengan dadah.

"Filipina tidak pernah menghantar jemputan kepada sesiapa, mahupun PBB untuk campur tangan dalam hal ehwal negara," kata Abella dalam satu kenyataan.

"Badan yang kononnya menjalankan siasatan oleh pihak ketiga ini adalah gangguan kepada hal ehwal sebuah negara yang rakyatnya mengalu-alukan perubahan yang diperkenalkan presiden dan dasar program mesra rakyat yang ditetapkan beliau," katanya.

Duterte menang besar dalam pilihan raya Mei lalu selepas berikrar membunuh puluhan ribu penjenayah. Pembunuhan bermula beberapa hari selepas pilihan raya itu.

Duterte turut mengarahkan polis untuk menembak mati suspek sekiranya tindakan mereka mengancam nyawa mereka.

Beliau berikrar akan memberikan kekebalan sekiranya mereka didakwa di mahkamah selepas melaksanakan operasi berkenaan. - Agensi

Berita Harian X