Ahad, 14 Ogos 2016 | 2:21pm

Jepun bangunkan peluru berpandu di pulau terpencil

TOKYO: Jepun akan membangunkan peluru berpandu baru sebagai sebahagian pelan mengukuhkan pertahanan di kepulauan selatan yang terpencil, ketika ketegangan dengan China memuncak berhubung perebutan wilayah.

Kedua-dua negara terbabit dalam perbalahan sekian lama berhubung kepulauan tidak berpenghuni dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China.

Laporan disiarkan selepas bantahan berulang kali oleh pegawai Kementerian Luar Jepun berhubung apa yang digelar pencerobohan dilakukan kapal China di wilayah dan perairan kepulauan itu.

Tokyo merancang membina senjata, yang dilaporkan pada jarak 300 kilometer di pulau seperti Miyako di Okinawa, menurut akhbar Yomiuri Shimbun, tanpa menyebut sumber.

Jarak itu meliputi gugusan kepulauan yang menjadi pertikaian, lapor akhbar itu lagi, menambah usaha membina dijangka bermula pada 2023.

"Berikutan provokasi berulang China di kepulauan Senkaku, Jepun berhasrat meningkatkan pertahanan dengan memperbaiki kemampuan serangan jarak jauh," lapor akhbar berkenaan.

Peluru berpandu itu akan dibangunkan oleh Jepun dan akan menggunakan bahan bakar padu, merujuk kepada teknologi yang membolehkan penyimpanan jangka lama dan kapasiti dilancarkan dalam masa singkat. - AFP

Berita Harian X