PYONGYANG: Media Korea Utara, KCNA, mendakwa Amerika Syarikat (AS) semakin bertindak melulu dalam usaha menyerang rejim itu dan melaporkan Pasukan Tentera Revolusi negara itu diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk berhadapan 'kegilaan perang' musuh.
Ia melaporkan tentera bersiap sedia sepenuhnya untuk menewaskan musuh jika mereka melakukan sedikit provokasi sahaja.
Media menekankan hak untuk melancarkan serangan nuklear lebih awal tidak dimonopoli Amerika.
Selasa lalu, Pemerintah Strategik Amerika mengumumkan negara itu sudah menghantar pesawat pengebom B-2 ke rantau Indo-Asia-Pasifik untuk melakukan siri latihan.
Pada Rabu, KCNA melaporkan Amerika bercadang melakukan pelan tindakan untuk serangan nuklear mengejutkan ketika latihan akan datang.
Pyongyang berulang kali mendakwa latihan ketenteraan bersama adalah latihan untuk menyerang Korea Utara.
Amerika dan Korea Selatan, sebaliknya menegaskan latihan bertujuan melatih skil pertahanan bagi ancaman perang yang dilaungkan Korea Utara. - AGENSI