Jumaat, 12 Ogos 2016 | 11:17am

Gempa bumi 7.2 magnitud landa New Caledonia

PETA gegaran gempa bumi yang dikeluarkan oleh USGS. - Foto EPA
PETA gegaran gempa bumi yang dikeluarkan oleh USGS. - Foto EPA

SYDNEY: Gempa bumi dengan kekuatan 7.2 magnitud melanda di luar pantai New Caledonia hari ini dekat rantau tektonik aktif Pasifik, namun tiada ancaman tsunami dikesan, kata ahli seismologi.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gegaran berlaku pada kedalaman kira-kira sembilan kilometer sekitar 109 kilometer ke timur Ile Hunter di New Caledonia pada jam 1.26 pagi waktu tempatan.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata, tidak ada amaran semasa mahupun nasihat dikeluarkan rantau ini.

"Gempa bumi bukanlah perkara luar biasa di rantau itu dan setahu saya, aktiviti terbaharu ini bukanlah suatu yang luar biasa," kata pakar seismologi kanan Geosains Australia, Phil Cummins kepada AFP.

"Ia mungkin berpotensi dirasai di beberapa pulau di Vanuatu atau New Caledonia, tetapi saya tidak yakin gegaran itu cukup untuk menyebabkan sebarang kerosakan."

New Caledonia adalah sebahagian daripada Lingkaran Api Pasifik, sebuah zon aktiviti tektonik di sekitar Pasifik yang kerap mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi. - AFP

Berita Harian X