Isnin, 25 Julai 2016 | 12:53am

Elak pertempuran di Kashmir - India

MENTERI Dalam Negeri India, Rajnath Singh. - Foto AFP
MENTERI Dalam Negeri India, Rajnath Singh. - Foto AFP

SRINAGAR: Menteri Dalam Negeri India, Rajnath Singh, menggesa penunjuk perasaan dan anggota keselamatan di wilayah Kashmir yang ditadbir negara itu bertenang selepas pertempuran selama beberapa minggu menyebabkan ramai maut.

Sekurang-kurangnya 49 orang terbunuh dalam pertempuran itu susulan kematian komander muda popular, Burhan Wani, dalam pertempuran dengan anggota keselamatan 8 Julai lalu.

Bercakap pada penghujung lawatan dua hari ke rantau bergolak itu, Singh berkata beliau bimbangkan keganasan di wilayah itu dan menggesa kedua-dua pihak bertenang.

"Saya bimbang dengan situasi di sini, begitu juga perdana menteri. Saya meminta pasukan keselamatan supaya mengawal diri," kata Singh kepada media selepas bertemu ahli perniagaan, kerajaan dan kumpulan lain ketika lawatan.

Beliau juga menggesa penduduk menahan diri daripada melakukan keganasan di wilayah bertelingkah itu yang terbahagi antara India dan Pakistan, namun dituntut secara penuh oleh kedua-duanya.

Lebih 5,500 orang termasuk 2,259 orang awam cedera dalam pertembungan terbaharu. - AFP

Berita Harian X