Selasa, 19 Julai 2016 | 10:17pm

Taliban Afghanistan nafi semakin lemah

PEGAWAI keselamatan Afghanistan menunjukkan mayat militan Taliban di Herat, Afghanistan. - Foto EPA
PEGAWAI keselamatan Afghanistan menunjukkan mayat militan Taliban di Herat, Afghanistan. - Foto EPA

KABUL: Taliban Afghanistan hari ini menyanggah dakwaan bahawa pergerakan itu semakin lemah selepas peralihan kepimpinan.

Dakwaan lemah itu mungkin timbul lantaran tiada serangan baharu dilancarkan, tetapi mengikut pergerakan itu, operasi mereka terhenti kerana Ramadan.

Taliban menamakan Haibatullah Akhundzada sebagai pemimpin baharu pada Mei lalu, selepas mengesahkan kematian ketua sebelumnya, Akhtar Mansour dalam satu serangan dron Amerika Syarikat (AS).

Dalam pada itu, pihak berkuasa Afghanistan dan NATO memuji kejayaan menentang Taliban sejak tentera AS bulan lalu diberi kuasa lebih besar untuk menyerang kumpulan pemberontak.

Mengikut pihak berkuasa, perpecahan dalam Taliban sejak kematian Mansour adalah antara punca kumpulan militan itu semakin lemah dan tidak membuat serangan agresif yang biasanya bermula pada April. - AFP

Berita Harian X