Isnin, 18 Julai 2016 | 9:16am
PRESIDEN Barack Obama. - Foto AP
PRESIDEN Barack Obama. - Foto AP

Insiden Baton Rouge 'tindakan pengecut' - Obama

WASHINGTON: Presiden Barack Obama menyifatkan kes tembak mati tiga pegawai polis dan mencederakan tiga lagi di ibu negeri Louisiana, Baton Rogue, semalam sebagai 'tindakan pengecut.'

"Buat kali kedua dalam masa dua minggu, pegawai polis yang meletakkan nyawa mereka dalam risiko untuk kita setiap hari sedang bertugas ketika mereka dibunuh dalam serangan pengecut.

"Serangan ke atas penduduk awam, ke atas peraturan undang-undang dan masyarakat bertamadun, dan mereka perlu dihentikan," kata Obama.

Kes tembakan berasingan di Dallas, Texas, awal bulan ini mengorbankan lima anggota polis ketika tunjuk perasaan berikutan tindakan polis menembak mati dua lelaki kulit hitam.

Saat-saat kematian mangsa dirakamkan dalam video yang kemudian menjadi viral.

Obama berkata, beliau memberikan 'sokongan penuhnya' dan kerajaan persekutuan kepada pihak berkuasa di Baton Rogue dan kepada Louisiana secara keseluruhan.

"Jangan lakukan kesilapan, keadilan akan ditegakkan. Kita mungkin belum tahu motif serangan, tetapi mahu jelaskan: tiada kewajaran bagi keganasan terhadap undang-undang. Tiada.

"Serangan ini dilakukan pengecut yang tidak menyebelahi sesiapa," katanya.

Obama menegaskan pegawai polis di Baton Rogue, seperti di Dallas sebelum mereka, 'ialah rakyat Amerika, sebahagian masyarakat, sebahagian negara, dengan rakyat yang sayang dan perlukan mereka, dan perlukan rakyat ketika ini, untuk berada pada tahap terbaik'. - AGENSI

Berita Harian X