Rabu, 13 Julai 2016 | 4:34pm

China beri amaran terhadap 'lapangan perang'

NAIB Menteri Luar China, Liu Zhenmin. - Foto EPA
NAIB Menteri Luar China, Liu Zhenmin. - Foto EPA

BEIJING: China hari ini memberi amaran kepada negara seteru supaya tidak menjadikan Laut China Selatan sebagai 'lapangan perang' dan mengancam penubuhan zon pertahanan udara di kawasan itu selepas tuntutan Beijing terhadap perairan terbabit diisytiharkan tidak sah.

Keputusan mengejut dan berimpak besar oleh tribunal yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memberikan asas diplomatik kukuh kepada Filipina yang memfailkan tuntutan dalam pertikaian berdekad lamanya dengan China terhadap perairan yang kaya dengan sumber laut.

China melahirkan kemarahan terhadap keputusan itu, semalam dengan menegaskan hak berdasarkan sejarah ke atas perairan berkenaan sambil mengeluarkan beberapa amaran kepada Amerika Syarikat dan negara lain yang mengkritiknya.

"Jangan jadikan Laut China Selatan sebagai lapangan perang," kata Naib Menteri Luar, Liu Zhenmin di Beijing sambil menyifatkan keputusan itu sebagai kertas sampah.

"Matlamat China adalah untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai laut keamanan, persahabatan dan kerjasama."

Lui berkata, China juga mempunyai 'hak' menubuhkan satu zon pertahanan udara (ADIZ) di perairan itu yang bakal memberikan tentera China kuasa terhadap sebarang pesawat asing. -

Satu zon serupa ditubuhkan pada 2013 di Laut Timur China menimbulkan kemarahan Jepun, Amerika Syarikat dan beberapa negara sekutunya.

"Sama ada kita perlu menubuhkan satu ADIZ di Laut China Selatan atau tidak akan bergantung kepada tahap ancaman yang kami terima," katanya.

"Kami berharap negara lain tidak menangguk di air yang keruh untuk mengugut China." - AFP

Berita Harian X