Selasa, 5 Julai 2016 | 3:30pm

UN kecam rancangan Israel perluas penempatan

PEMIMPIN Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon. - Foto EPA
PEMIMPIN Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon. - Foto EPA

NEW YORK: Pemimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon hari ini mengecam keputusan Israel untuk memperluaskan pembinaan penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, kata jurucakapnya.

Pemimpin PBB "amat kecewa" dengan pengumuman Israel itu beberapa hari selepas laporan utama oleh Kuartet Diplomatik Asia Barat (Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Russia dan PBB) dikeluarkan minggu lalu yang menggesa Israel menghentikan pembinaan penempatan, kata Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Ban berkata, penempatan itu adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa dan menggesa kerajaan Israel untuk menghentikan dan menukar keputusan berkenaan demi kepentingan keamanan dan perjanjian status akhir yang adil.

Israel meluluskan rancangan untuk membina sejumlah 560 rumah baru di kawasan penempatan Tebing Barat dekat Maale Adumim, serta 240 unit lagi di seluruh Timur Baitulmaqdis. - AFP

Berita Harian X