Isnin, 4 Julai 2016 | 12:25am

Doktor Islam ditembak, ditikam di luar masjid Texas

HOUSTON: Seorang lelaki Islam yang dalam perjalanan menunaikan solat Subuh ditembak dan ditikam di luar sebuah masjid di sini, Texas.

Jurucakap Masjid Noor Madrasah Islamiah dekat Bellaire, Mohammed Imaduddin, memberitahu memaklumkan kepada agensi berita tempatan, mangsa adalah seorang doktor yang meletak kereta di tepi jalan sebelum berjalan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.

Saksi berkata, mangsa didekati tiga lelaki bertopeng yang berjalan kaki sebelum ditikam secara tiba-tiba.

Seorang daripada tiga penyerang menarik senjata api dan menembaknya, sebelum melarikan diri.

"Keadaan amat membimbangkan berikutan suasana politik ketika ini," kata Imaduddin kepada stesen berita ABC 13, menambah ada kanak-kanak di luar ketika insiden itu.

Katanya, beliau difahamkan, ia adalah insiden ketiga minggu ini di sini membabitkan seorang Muslim ditembak.

"Ini adalah tempat komuniti, kanak-kanak turut datang ke sini selain golongan muda dan tua," katanya.

Penyiasat berkata, mangsa ditembak dua kali dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selama 24 jam, namun dijangka terselamat. Motif serangan bagaimanapun tidak diketahui.

Insiden itu berlaku sehari selepas seorang lagi lelaki Islam dipukul di luar sebuah masjid di Florida. -Agensi

Berita Harian X