Khamis, 23 Jun 2016 | 10:15am

93 maut dipanah petir ketika monsun di India

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 93 orang terbunuh akibat dipanah petir di India sejak dua hari lalu, kata pegawai pengurusan bencana semalam berikutan bermulanya musim monsun di negara itu.

Kilat agak lazim di India ketika monsun pada Jun hingga Oktober, yang melanda pantai selatan awal bulan ini, tetapi jumlah korban minggu ini adalah sangat tinggi.

Kebanyakan kematian berlaku di negeri Bihar, apabila ribut semalaman membunuh sekurang-kurangnya 56 orang dan mencederakan 28 yang lain, terutamanya di kawasan luar bandar.

SEORANG mangsa panahan petir dibawa ke hospital di Bihar. - Foto AP
SEORANG mangsa panahan petir dibawa ke hospital di Bihar. - Foto AP

"Angka kematian meningkat kepada 56 dan 28 lagi cedera. Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak dan wanita," kata pegawai kanan di agensi pengurusan bencana Bihar, Anirudh Kumar kepada AFP.

Sementara itu 37 lagi terbunuh di seluruh Uttar Pradesh, Jharkand dan Madhya Pradesh, menurut angka yang dikumpul pihak berkuasa pengurusan bencana tempatan.

Perdana Menteri Narendra Modi dalam akaun Twitter menulis beliau: "amat sedih" dengan kehilangan nyawa itu.

Petir membunuh ribuan warga India setiap tahun, sebahagian besar adalah petani yang bekerja ladang.

Lebih daripada 2,500 orang terbunuh akibat petir di India pada tahun 2014 menurut Biro Rekod Jenayah Kebangsaan, angka yang paling terkini. - Agensi

Berita Harian X