Rabu, 15 Jun 2016 | 3:05pm

Kapal pengintip China masuk perairan Jepun

TOKYO: Sebuah kapal pengintip China memasuki perairan wilayah Jepun hari ini, kurang seminggu selepas sebuah lagi kapal tentera laut milik negara itu belayar berhampiran pulau-pulau yang dipertikaikan.

Kebimbangan terhadap kehadiran tentera China yang semakin kerap di perairan Asia mencetus kebimbangan di Jepun yang mentadbir pulau-pulau di Laut China Timur yang turut dituntut Beijing.

Jurucakap kerajaan, Hiroshige Seko memberitahu wartawan sebuah pesawat peninjau P-3C tentera laut Jepun mengesan kapal pengumpul maklumat seberat 6,096 tan daripada kelas-Dongdiao pada kira-kira jam 3.30 petang (waktu tempatan) di perairan berhampiran pulau Kuchinoerabu di selatan Jepun.

Kawasan perairan Jepun adalah sehingga 12 batu nautika dari pantai, walaupun negara itu tidak segera memberitahu berapa jauh kapal Cina menceroboh mereka.

Ia adalah sebahagian daripada rantaian kepulauan Jepun yang memisahkan Laut China Timur dan kawasan yang dipertikai.

Hubungan antara Jepun dan China semakin terjejas pada 2012 apabila Tokyo menjadikan beberapa pulau kecil yang tidak berpenghuni miliknya. Kedua negara itu sudah mengambil langkah-langkah wajar untuk memperbaiki hubungan namun ia kekal tegang. - AFP

Berita Harian X