Sabtu, 11 Jun 2016 | 4:22pm

'Duterte tidak sokong pembunuhan'

BAKAL Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP
BAKAL Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP

MANILA: Bakal Presiden Filipina, Rodrigo Duterte tidak menyokong pembunuhan sewenang-wenangnya, kata jurucakapnya hari ini selepas dikritik hebat ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung rancangan memerangi kempen anti-jenayah yang dikatakan kejam.

Duterte menang besar dalam pilihan raya bulan lalu, sebahagian besarnya disebabkan oleh pendekatan undang-undang drastik beliau yang berjanji menamatkan jenayah dalam tempoh enam bulan dengan membunuh puluhan ribu disyaki penjenayah.

Beliau menawarkan ganjaran yang besar kepada pasukan keselamatan dan juga orang awam untuk membunuh pengedar dadah.

Bagaimanapun, jurucakap beliau menegaskan semalam, Duterte tidak menyokong pembunuhan luar undang-undang.

"Bakal presiden tidak pernah menyokong, tidak membenarkan dan tidak akan menyokong pembunuhan luar undang-undang, yang bertentangan dengan undang-undang," kata Salvador Panelo dalam satu kenyataan.

"Beliau juga tidak menyokong pembunuhan wartawan tidak kira warga negara, tidak kira apapun tujuannya."

Panelo berkata, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon percaya dengan "laporan berita yang salah" apabila beliau mengutuk sokongan jelas Duterte ke atas pembunuhan luar undang-undang itu.

Ban, dalam ucapannya di New York Rabu lalu, berkata beliau "amat terganggu" dengan kenyataan Duterte, sekali gus menyuarakan kebimbangan berhubung komen beliau yang dilihat seolah mewajarkan pembunuhan wartawan.

Duterte yang akan mula bertugas pada 30 Jun, memberitahu wartawan minggu lalu bahawa wartawan yang menerima rasuah atau terbabit dalam aktiviti rasuah lain adalah sasaran sah untuk dibunuh. - AFP

Berita Harian X