Khamis, 9 Jun 2016 | 10:28am

Jepun dakwa kapal tentera laut China menceroboh

GAMBAR fail menunjukkan tiga pulau di Laut China Timur yang menjadi rebutan, Uotsuri island (atas), Minamikojima (bawah) dan Kitakojima, yang dikenali dengan gelaran Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China. - Foto Reuters
GAMBAR fail menunjukkan tiga pulau di Laut China Timur yang menjadi rebutan, Uotsuri island (atas), Minamikojima (bawah) dan Kitakojima, yang dikenali dengan gelaran Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China. - Foto Reuters

TOKYO: Jepun memanggil Duta China di Tokyo awal hari ini untuk menyatakan kebimbangan selepas kapal tentera laut China belayar berhampiran dengan apa yang dianggap Jepun sebagai kawasan perairannya di Laut China Timur buat kali pertama.

Kementerian Luar berkata, kapal tentera laut China memasuki perairannya sejurus selepas tengah malam yang bersempadan dengan apa dianggap Tokyo sebagai wilayahnya di pulau rebutan, dikenali sebagai Sensaku di Jepun dan Diaoyu di China.

Kejadian itu dilihat sebagai masalah selepas petanda pemulihan dalam hubungan antara dua kuasa ekonomi terbesar Asia, yang tegang kebelakangan ini berhubung sejarah perang dan perbalahan wilayah.

Timbalan Menteri Luar Jepun, Akitaka Saiki, memanggil duta itu sekitar jam 2.00 pagi waktu tempatan untuk menyatakan 'kebimbangan serius' dan menggesa kapal China untuk meninggalkan kawasan itu.

Kapal China meninggalkan kawasan perairan itu kira-kira sejam kemudian, belayar ke utara, kata Kementerian Pertahanan Jepun.

Kapal peronda China kadang-kadang belayar berhampiran atau memasuki apa yang dianggap Tokyo sebagai perairannya, tetapi ia adalah kali pertama kapal tentera laut negara berkenaan memasuki perairan itu.

Pada masa sama, tiga kapal perang Russia memasuki perairan yang berhampiran dengan wilayah Jepun, kata Kementerian Pertahanan.

Ia berkata, pihaknya menyiasat sama ada tindakan China dan Russia ada kaitan. - REUTERS

Berita Harian X