Khamis, 9 Jun 2016 | 8:10am

4 rakyat Israel maut insiden tembakan dekat pasar

PEGAWAI polis Israel memeriksa tempat kejadian serangan tembakan di Tel Aviv, Israel. - Foto AP
PEGAWAI polis Israel memeriksa tempat kejadian serangan tembakan di Tel Aviv, Israel. - Foto AP

BAITULMAQDIS: Empat penduduk Israel terbunuh dan sekurang-kurangnya lima lagi cedera apabila dua penduduk Palestin melepaskan tembakan berhampiran pasar terbuka popular di tengah Tel Aviv malam semalam.

Kejadian berlaku di pasar Sarona, siri bangunan dibaik pulih yang dijadikan pusat tumpuan pelancong popular dipenuhi kedai dan restoran.

Kompleks berkenaan terletak berhampiran ibu pejabat tentera Israel dan selalu dipenuhi pelancong dan askar berpakaian seragam.

"Dua penduduk Palestin melepaskan tembakan ke arah orang ramai," kata komander polis daerah Tel Aviv, Moshe Edri, menambah seorang penyerang yang ditahan dirawat kerana mengalami kecederaan.

Polis pada awalnya berkata, mungkin ada penyerang ketiga tetapi kemudian menarik balik kenyataan itu selepas melakukan pencarian dan meneliti rakaman kamera keselamatan.

Hospital Ichilov di Tel Aviv berkata, empat penduduk Israel yang terbunuh dibawa ke situ dalam keadaan kritikal dan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Saluran Channel 10 menyiarkan rakaman kamera litar tertutup di dalam restoran menunjukkan dua lelaki menembak pengunjung ketika melarikan diri daripada meja mereka.

Polis berkata, dua penyerang itu ialah anggota keluarga Palestin sama di kampung Yatta, berhampiran Hebron di Tebing Barat yang menjadi pusat keganasan sejak beberapa bulan ini. - AP

Berita Harian X