Selasa, 7 Jun 2016 | 11:50am

Duterte sangat tak bertanggungjawab - Pakar PBB

RODRIGO Duterte. - Foto REUTERS
RODRIGO Duterte. - Foto REUTERS

GENEVA: Pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa bakal Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berhenti menghasut keganasan, terutamanya terhadap wartawan, sekali gus menyelar komen beliau sebagai berbahaya dan tidak bertanggungjawab.

Pakar PBB, Christof Heyns menyifatkan kenyataan terbaru Duterte itu sebagai "tidak bertanggungjawab dan melampau, serta tidak wajar bagi mana-mana pemimpin".

Duterte, 71, yang memenangi pilihan raya presiden bulan lalu, Sabtu lalu menggesa orang ramai supaya menyertai kempen anti-jenayah kejam, sambil menawarkan ganjaran besar kepada mereka untuk membunuh pengedar dadah.

Minggu lalu beliau turut berkata terdapat justifikasi untuk membunuh wartawan yang mengambil rasuah atau terbabit dalam aktiviti rasuah lain, sekali gus menimbulkan kebimbangan lebih ramai lagi pekerja media akan terbunuh.

"Mesej seperti seperti ini cenderung menghasut kepada keganasan dan pembunuhan, di sebuah negara yang disenaraikan sebagai negara kedua paling berbahaya bagi wartawan," amaran Heyns dalam satu kenyataan.

Seramai 174 wartawan dibunuh di Filipina sejak demokrasi dibelenggu huru-hara dan rasuah ketika menggantikan diktator Ferdinand Marcos tiga dekad yang lalu.

Pakar mengenai kebebasan bersuara PBB, David Kaye, juga menyuarakan kebimbangannya semalam berhubung komen Duterte itu. - Agensi

Berita Harian X