Jumaat, 3 Jun 2016 | 10:27pm

Prince maut ambil ubat tahan sakit berlebihan

PENYANYI pop terkenal, Prince. - Foto Reuters
PENYANYI pop terkenal, Prince. - Foto Reuters

MINNEAPOLIS: Bedah siasat ke atas mayat mendiang Prince mendedahkan penyanyi pop terkenal itu meninggal dunia akibat pengambilan ubat tahan sakit berlebihan, fentanyl, yang 50 kali ganda lebih bahaya berbanding heroin, kata pemeriksa perubatan di sini.

Laporan daripada Pejabat Pemeriksa Perubatan Barat Tengah di Minnesota, Amerika Syarikat (AS) itu didedahkan selepas lebih sebulan penyanyi itu ditemui tidak sedarkan diri dalam lif di kediamannya di Studio Paisley Park 21 April lalu.

Detektif sudah menyoal Dr Michael Schulenberg yang sudah dua kali merawat Prince, 57, beberapa minggu sebelum mendiang meninggal dunia.

Pihak berkuasa memberitahu media AS Mei lalu, preskripsi ubat tahan sakit ditemui pada penyanyi itu susulan kematiannya.

Waran polis juga mendedahkan, Dr Schulenberg memberi preskripsi ubat itu kepada Prince pada 20 April, sehari sebelum beliau ditemui mati.

Waran itu bagaimanapun tidak menyebut preskripsi ubat atau jika penyanyi itu mengambilnya.

Menurut laporan bedah siasat, Prince yang sudah merakam 30 album, termasuk Let's Go Crazy dan When Doves Cry, menyuntik sendiri fentanyl, sejenis opioid (ubat pelali) yang lebih kuat daripada heroin.

Beliau berbuat demikian bagi meredakan kesakitan lutut dan pinggul akibat membuat persembahan sejak sekian lama, agensi berita The Associated Press memetik rakan penyanyi itu sebagai berkata. -AP

Berita Harian X