Jumaat, 3 Jun 2016 | 3:21pm

Penyokong Trump bertumbuk, dibaling telur

KEKECOHAN di antara penyokong dan penentang calon presiden Republikan, Donald Trump di San Jose. - Foto AP
KEKECOHAN di antara penyokong dan penentang calon presiden Republikan, Donald Trump di San Jose. - Foto AP

SAN JOSE: Penyokong dan penentang calon presiden Republikan, Donald Trump, bertumbuk ketika beliau menganjurkan perhimpunan di California dengan seorang penyokongnya dibaling telur.

Ratusan penunjuk perasaan menghalang van polis dan kemudian memasuki kawasan parkir di Pusat Konvensyen San Jose, lokasi pergaduhan meletus, menghina penyokong Trump dalam kereta mereka dan menyerang sesiapa yang meninggalkan perhimpunan itu.

Berbelas orang ditumbuk, lapor akhbar Los Angeles Times, menyatakan sekurang-kurangnya seorang dibaling telur.

Laporan ABC News menyatakan beberapa penunjuk perasaan mengepung kereta seorang penyokong Trump ketika ia meninggalkan garaj pusat konvensyen itu, menggoncang kereta dan memecahkan lampu belakang.

Orang ramai, sebelum itu melaungkan 'tiada kebencian di negara kita' dan membawa sepanduk berbunyi 'Tinggalkan Trump' ketika berarak berhampiran pusat konvensyen itu.

Seorang penunjuk perasaan dilihat membakar bendera Amerika dan beberapa penyokong meludah ke atasnya. Kejadian tumbuk menumbuk berlaku tetapi segera dileraikan.

Polis terpaksa campur tangan, pada satu ketika membentuk barisan bagi membolehkan penyokong Trump memasuki perhimpunan dan menghalang pertempuran yang berlaku di beberapa majlis membabitkan hartawan itu sejak beberapa minggu lalu. - AFP

Berita Harian X