Selasa, 31 Mei 2016 | 8:51am
KOREA Utara melakukan ujian peluru berpandu balistik.
KOREA Utara melakukan ujian peluru berpandu balistik.

Korea Utara sedang bersiap lancarkan peluru berpandu balistik

SEOUL: Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata semalam ia mengesan tanda-tanda bahawa Korea Utara sedang bersedia untuk melancarkan peluru berpandu balistik, sementara Jepun dilaporkan mula meletakkan tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga.

Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengharamkan Korea Utara daripada penggunaan teknologi peluru berpandu balistik, walaupun ia kerap melancarkan peluru berpandu jarak dekat ke dalam laut di luar pantai timur.

Ketegangan memuncak di semenanjung Korea yang terpisah sejak ujian nuklear keempat Utara Januari lalu, diikuti dengan pelancaran roket jarak jauh pada bulan berikutnya.

Beberapa minggu kebelakangan ini, Pyongyang menyuarakan kemarahan terhadap keengganan Seoul menerima tawaran rundingan ketenteraan bagi meredakan keadaan.

"Kami sedang mengesan tanda-tanda bahawa Korea Utara sedang bersedia untuk melakukan ujian peluru berpandu balistik dan mengekalkan kesediaan pertempuran," kata seorang pegawai Kementerian Pertahanan kepada AFP.

Pegawai itu tidak menyatakan jenis peluru berpandu, tetapi tanda-tanda pelancaran menunjukkan peluru berpandu jarak sederhana atau lebih besar.

April lalu Utara gagal tiga kali dalam ujian pelancaran peluru berpandu jarak sederhana dikenali sebagai Musudan, yang mampu memusnahkan pangkalan tentera Amerika Syarikat di selatan pasifik, Guam. - Agensi

Berita Harian X