Isnin, 16 Mei 2016 | 7:02am

Duterte mahu hukuman mati dilaksana semula di Filipina

PRESIDEN baharu Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP
PRESIDEN baharu Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP

DAVAO: Presiden baharu Filipina, Rodrigo Duterte menegaskan langkah untuk memperkenalkan semula hukuman mati dan memberi kuasa kepada pasukan keselamatan melepaskan tembakan sehingga mati terhadap penjenayah.

"Apa yang saya akan buat ialah meminta Kongres menguatkuasakan hukuman gantung sampai mati," katanya dalam satu sidang media di bandar selatan Davoa.

Duterte juga berkata beliau akan memberi kuasa 'tembak mati' terhadap jenayah terancang atau terhadap penjenayah ganas yang enggan ditangkap.

Beliau berkata, penembak tepat anggota tentera akan disenarai pendekkan dalam kempennya untuk memburu dan membunuh penjenayah.

Duterte juga bercadang untuk memperkenalkan perintah berkurung terhadap pengambilan arak di tempat awam sehingga 2 pagi dan mengharamkan kanak-kanak berkeliaran di jalan raya bersendirian pada lewat malam.

Duterte, 71, berkata hukuman mati yang dihapuskan pada 2006 ketika pentadbiran Gloria Arroyo, akan diperkenalkan semula bukan saja untuk membendung jenayah berat terutama pengedaran dadah, malah kesalahan merogol, pembunuhan dan rompakan.

Salah satu strategi Duterte ketika kempen pilihan raya ialah untuk menamatkan jenayah dalam masa enam bulan selepas dipilih.

Dalam kempennya, Duterte berikrar untuk membunuh 10,000 penjenayah dan dengan sinis menyatakan mayat mereka akan dihumban di Teluk Manila untuk dimakan ikan.

Beliau turut menegaskan orang ramai ketika ini tidak lagi berasa takut dengan undang-undang dan beliau mahu mengubahnya. - AFP

Berita Harian X