Isnin, 9 Mei 2016 | 8:29am

Kongres Korea Utara sepakat terus bangunkan senjata nuklear

Foto dirakam pada 7 Mei 2016 oleh Agensi Berita rasmi KoKorea Utara (KCNA) memaparkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un berucap di Pyongyang. - Foto AFP
Foto dirakam pada 7 Mei 2016 oleh Agensi Berita rasmi KoKorea Utara (KCNA) memaparkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un berucap di Pyongyang. - Foto AFP

PYONGYANG: Kongres pertama parti pemerintah Korea Utara secara rasmi menerima dasar pemimpinnya, Kim Jong-Un, untuk membangunkan senjata nuklear seiring dengan ekonomi.

Kongres, yang bermula pada Jumaat, dilihat sebagai acara pertabalan bagi Kim, 33, mengukuhkan statusnya sebagai pemimpin tertinggi dan mengesahkan legasi 'byungjin' iaitu doktrin pembangunan ekonomi dan nuklear.

Pada Ahad, ribuan perwakilan yang secara teknikalnnya adalah badan pembuat dasar Korea Utara, menerima keputusan sebulat suara meneruskan pembangunan ekonomi dan meningkatkan kuasa nuklear dalam kualiti dan kuantiti.

Ia juga menegaskan dasar tidak menggunakan senjata nuklear kecuali kedaulatannya diceroboh kuasa nuklear lain, dan berusaha ke arah penyatuan semula semenanjung Korea yang terpisah.

"Namun jika pihak berkuasa Korea Selatan memilih perang, kami tidak akan menunjukkan belas kasihan untuk menghapuskan golongan yang anti-penyatuan," menurut dokumen yang disiarkan agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.

Kim masih belum dilahirkan ketika kongres terakhir diadakan pada 1980 untuk menabalkan bapanya, Kim Jong-Il, sebagai pewaris kepada pengasas negara itu, Kim Il-Sung. - AFP

Berita Harian X