Isnin, 18 April 2016 | 7:37pm
PERMATA Koh-i-Noor 108 karat kini menjadi sebahagian mahkota dipakai ibu Ratu Elizabeth sehingga kemangkatannya pada 2002. - Sumber Twitter @khanlmmi17
PERMATA Koh-i-Noor 108 karat kini menjadi sebahagian mahkota dipakai ibu Ratu Elizabeth sehingga kemangkatannya pada 2002. - Sumber Twitter @khanlmmi17

Berlian Koh-i-Noor milik Britain: India

NEW DELHI: Sebutir berlian tidak ternilai dan menjadi sebahagian Mahkota Ratu Elizabeth diberi kepada Britain dan bukan dicuri, kata kerajaan India hari ini kepada Mahkamah Agung, yang mendengar satu tuntutan supaya ia dipulangkan.

Permata Koh-i-Noor 108 karat, yang berada di tangan British ketika era penjajahan, menjadi topik pertelingkahan pemilikan bersejarah dan dituntut oleh sekurang-kurangnya empat negara termasuk India.

Namun Peguam Negara India, Ranjit Kumar berkata, Raja Sikh, Ranjit Singh yang memerintah pada kurun ke-19 memberi permata itu kepada kerajaan British.

Ia kini menjadi sebahagian mahkota dipakai ibu Ratu Elizabeth sehingga kemangkatannya pada tahun 2002 dan dipaparkan kepada umum di Tower of London.

"Ia diberi secara sukarela oleh Ranjit Singh kepada British sebagai pampasan atas bantuan dalam Perang Sikh. Koh-i-Noor bukan objek yang dicuri," katanya kepada Mahkamah Agung.

Mahkamah mendengar satu tuntutan difailkan All India Human Rights & Social Justice Front, sebuah organisasi bukan kerajaan, menuntut berlian itu dipulangkan. Ia meminta peguam negara memfailkan satu afidavit menyatakan pendirian kerajaan berhubung isu berkenaan.

Permata itu dihadiahkan kepada Ratu Victoria pada tahun 1850 an selepas perang Anglo-Sikh di mana Britain memperoleh kawalan ke atas empayar Sikh di Punjab, yang kini berpecah antara Pakistan dan India. -AFP

Berita Harian X