Rabu, 6 April 2016 | 8:35am

Anggota PBB patut bertindak 'keras' terhadap penderaan seksual

NEW YORK: Pegawai tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meningkatkan tekanan ke atas semua 193 negara anggota supaya mengenakan tindakan disiplin dan sekatan jenayah 'paling tegas' terhadap anggota pengaman yang didapati bersalah melakukan penderaan seksual.

Gesaan dibuat tidak sampai sebulan selepas Majlis Keselamatan badan dunia berkenaan meluluskan resolusi pertamanya mengenai masalah yang semakin memuncak itu.

Setiausaha Agung Rendah, Atul Khare, berkata demikian ketika mesyuarat Perhimpunan Agung bahawa dakwaan penderaan seksual terhadap anggota pengaman perlu disiasat secara profesional, sebaik-baiknya seiring dengan unit siasatan dalaman PBB.

SETIAUSAHA Agung Rendah, Atul Khare. - Foto Reuters
SETIAUSAHA Agung Rendah, Atul Khare. - Foto Reuters

"Kami berharap kepada semua negara anggota supaya bertanggungjawab membawa ke muka pengadilan mereka yang melakukan jenayah ketika berkhidmat dengan PBB dan mengenakan tindakan disiplin dan sekatan jenayah paling ketat menurut undang-undang antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, bergantung kepada pegawai tentera atau polis negara berkenaan untuk melakukan siasatan dan menentukan hukuman jika dakwaan penderaan seksual atau eksploitasi terbukti.

Kenyataan Khare dibuat pada hari sama pihak perundangan Perancis mengumumkan mereka melancarkan siasatan mengenai dakwaan penderaan seksual yang dilakukan tentera Perancis di Republik Afrika Tengah.

Pegawai Perancis berkata, siasatan tiada kaitan dengan dakwaan penderaan seks paling serius dalam pasukan pengaman PBB iaitu tuduhan oleh kumpulan beribu pejabat di Amerika Syarikat mendakwa tiga gadis memberitahu pekerja PBB mereka diikat, dibogelkan dan dipaksa melakukan hubungan seks luar tabii dengan anjing. - AP

Berita Harian X