Sabtu, 2 April 2016 | 9:56am

3 individu saman Trump dakwa diserang

LOUISVILLE: Tiga individu yang mendakwa mereka diserang pada perhimpunan kempen calon presiden Republikan, Donald Trump, bulan lalu memfailkan saman terhadap hartawan berkenaan, berkata beliau 'mencetuskan rusuhan'.

Molly Shah, Kashiya Nwanguma dan Henry Brousseau memfailkan saman itu pada Khamis di Mahkamah Jefferson, mendakwa gesaan berulang kali dibuat Trump supaya mereka dihalau pada perhimpunan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kentucky pada 1 Mac lalu adalah arahan secara langsung kepada penyokongnya 'menggunakan paksaan fizikal dan tidak diperlukan' membahayakan untuk menghalau penunjuk perasaan termasuk plaintif.

Saman juga menamakan kempen Trump sebagai defendan dan tiga individu yang didakwa plaintif menyerang mereka di perhimpunan itu.

Ketiga-tiga plaintif, semuanya penduduk Louisville, mendakwa mereka mengalami kecederaan fizikal, tekanan emosi dan terhina, dan menuntut ganti rugi tidak dinyatakan.

"Bantahan secara aman adalah tradisi Amerika Syarikat, terutama dalam konteks pilihan raya presiden.

"Namun apa yang ada lihat di seluruh negara, beberapa kali, keganasan dilakukan terhadap penunjuk perasaan kempen Trump," kata peguam plaintif, Dan Canon.

Daman berkata, Trump menghentikan ucapan 30 minit itu lima kali untuk mengecam penunjuk perasaan dan dalam kebanyakan kes, memberitahu penyokongnya supaya menghalau mereka dari situ. - REUTERS

Berita Harian X