Jumaat, 1 April 2016 | 2:23pm

Gempa bumi 6.0 magnitud gegar Jepun

TOKYO: Gempa bumi kuat berukuran 6.0 menggegarkan pantai barat daya Jepun, kata Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS), tetapi tiada ancaman tsunami.

Ia melanda jam 11.39 pagi waktu tempatan di pantai pulau Honshu, pada lokasi kira-kira 350 kilometer ke barat daya negara itu, kata USGS dan Agensi Kaji Cuaca Jepun.

Gegaran itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer.

Tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan walaupun gegaran kuat memaksa beberapa kereta api laju negara itu menghentikan operasi buat sementara, lapor stesen penyiaran NHK.

Jepun terletak di persimpangan lapisan tektonik dan berhadapan kira-kira 20 peratus gempa bumi paling kuat di dunia.

Namun kod binaan ketat dan penguat kuasaan tegas menjadikan gegaran kuat jarang menyebabkan kerosakan besar.

Gempa bumi kuat bawah laut pada Mac 2011 menghasilkan tsunami di pantai timur laut negara itu, menyebabkan 18,500 penduduk maut atau hilang, serta menjadi punca kebocoran reaktor di loji nuklear Fukushima dalam antara kemalangan atom paling buruk. - AFP

Berita Harian X