Ahad, 20 March 2016 | 11:54pm

Bantahan anti-Trump di New York, Arizona

PENUNJUK perasaan anti-Trump di Fountain Hills, Arizona. - Foto Reuters
PENUNJUK perasaan anti-Trump di Fountain Hills, Arizona. - Foto Reuters

NEW YORK: Ratusan membuat bantahan ke atas Donald Trump di bandar raya ini dan menyekat jalan utama di negeri barat daya Arizona semalam apabila seorang penunjuk perasaan ditumbuk dan ditendang dalam satu perhimpunan.

Polis dan saksi berkata, cubaan terkini pencabarnya mengganggu kempen pendahulu calon Rumah Putih Republikan itu mengakibatkan beberapa orang ditangkap.

Di Tucson, Arizona, seorang penunjuk perasaan yang membawa sepanduk muka Trump bertulis "Bad For America", ditendang dan ditumbuk seorang penyokong ketika diiring keluar oleh pihak keselamatan, menurut video NBC yang disiarkan dalam talian.

Rangkaian itu melaporkan, penyokong terbabit digari dan ditahan sebelum didakwa melakukan serangan yang mencederakan, menurut polis.

Sementara itu, di bahagian lain negara itu, penunjuk perasaan yang berkumpul di Manhattan Columbus Circle, berhampiran bangunan mewah jutawan hartanah itu menghadap Central Park, melaungkan slogan "Donald Trump, go away, racist, sexist, anti-gay." (Donald Trump, pergi, bersikap perkauman, seksis, anti-gay).

Walaupun dengan kehadiran sejumlah besar polis, penunjuk perasaan tetap mengangkat sepanduk berbunyi "Deport Trump" (Usir Trump) dan "Build a Wall around Trump." (Bina Dinding Di Sekeliling Trump).

Khalayak turut membawa sepanduk bertulis "Don't let bigotry Trump our constitution" dan "Will trade 1 Donald Trump for 25,000 refugees."

Sekurang-kurangnya seorang ditahan di lokasi terkenal Fifth Avenue ketika kekacauan pantas dikawal pihak polis. Demonstrasi itu dianjurkan kumpulan dikenali sebagai Cosmopolitan Antifascists, disertai penyokong lain. -AFP

Berita Harian X