Ahad, 20 March 2016 | 1:51pm

Nahas Flydubai: 3 bakal penumpang terselamat

SERPIHAN pesawat Flydubai FZ981 yang terhempas di selatan bandar Rostov-on-Don. - Foto AFP
SERPIHAN pesawat Flydubai FZ981 yang terhempas di selatan bandar Rostov-on-Don. - Foto AFP

MOSCOW: Sekurang-kurangnya tiga orang terselamat daripada nahas pesawat Flydubai FZ981, yang terhempas ketika cuba mendarat di selatan bandar Rostov-on-Don, Russia kerana terlepas penerbangan atau membatalkan rancangan di saat akhir.

Media Russia melaporkan, selain 55 penumpang yang terkorban awal pagi semalam, tiga lagi sepatutnya menaiki pesawat syarikat penerbangan Dubai itu.

Elvira Isaeva, yang sedang bercuti di Emiriah Arab Bersatu (UAE), meraikan hari jadi rakannya pada Jumaat malam terlebih tidur menyebabkan dia terlepas penerbangan.

"Saya tidak tahu bagaimana ia berlaku. Umur saya masih panjang kerana tertidur," katanya kepada LifeNews Russia.

Seorang lagi penumpang lelaki yang tidak mahu dikenali terlepas penerbangan ke Dubai apabila pasportnya hilang. Namun isterinya terkorban ketika meneruskan perjalanan tanpanya. Beberapa rakan pasangan itu juga dilaporkan terkorban.

Seorang wanita Rostov dikenali sebagai Ekaterina S, sepatutnya terbang ke Dubai bersama anaknya, tetapi membatalkannya di saat akhir, lapor REN TV.

Bagaimanapun, sepupu Ekaterina, pasangannya, serta adik ipar dan teman wanitanya terkorban dalam penerbangan itu.

Beliau dilaporkan sangat terkejut dan enggan bercakap mengenai nahas itu. - Agensi

Berita Harian X