Sabtu, 12 March 2016 | 12:30pm

Trump batalkan kempen bila rali bertukar ganas

PENUNJUK perasaan mengejek penyokong calon presiden Republikan, Donald Trump kerana meninggalkan perhimpunan di Universiti Illinois di Chicago, Illinois. - Foto AFP
PENUNJUK perasaan mengejek penyokong calon presiden Republikan, Donald Trump kerana meninggalkan perhimpunan di Universiti Illinois di Chicago, Illinois. - Foto AFP

CHICAGO: Donald Trump membatalkan satu perhimpunan dengan penyokongnya di sini, semalam berikutan satu tunjuk perasaan besar-besaran berubah menjadi ganas.

Kekacauan itu tercetus selepas salah seorang penunjuk perasaan bergaduh dengan penyokong calon utama Rumah Putih Republikan itu dan polis turut berdepan kesukaran untuk mengawal orang ramai.

Hartawan itu berkata, beliau mengambil keputusan membatalkan perhimpunan selepas berbincang dengan polis Chicago, lokasi menyaksikan ketegangan memuncak berjam-jam pada perhimpunan di arena sukan Universiti Illinois.

"Saya tidak mahu sesiapa cedera," kata Trump kepada CNN. "Saya rasa kita membuat keputusan tepat untuk membatalkan perhimpunan walaupun hak kebebasan suara kita terjejas."

Beratus-ratus penunjuk perasaan, kebanyakannya warga kulit hitam dan Latin merah dengan retorik anti pendatang Trump. Mereka berkumpul di luar dan dalam lokasi perhimpunan serta bercampur dengan penyokong calon itu.

CNN menjangkakan terdapat antara 8,500 hingga 10,000 orang dalam arena terbabit ketika ketegangan bertukar menjadi kekacauan.

Menurut seorang jurugambar AFP, pergaduhan tercetus selepas keputusan membatalkan perhimpunan dimaklumkan dan polis kelihatan sukar mengasingkan penentang dan penyokong yang marah. - AFP

Berita Harian X