Sabtu, 20 Februari 2016 | 9:39am

Korea Utara lepaskan tembakan meriam dekat sempadan

KERETA kebal K-1 milik Korea Selatan bergerak ke sempadan di Paju, utara Seoul, Korea Selatan. - Foto EPA
KERETA kebal K-1 milik Korea Selatan bergerak ke sempadan di Paju, utara Seoul, Korea Selatan. - Foto EPA

SEOUL: Korea Utara melepaskan tembakan meriah ketika latihan ketenteraan di sebuah pulau bersempadan dengan Korea Selatan ketika ketegangan masih belum reda berikutan ujian nuklear dan peluru berpandu Pyongyang, kata jurucakap tentera Korea Selatan.

Insiden itu juga muncul beberapa hari selepas Korea Selatan berkata, pihaknya akan mengadakan latihan tahunan bersama secara besar-besaran dengan Amerika Syarikat pada bulan depan, yang menjadi antara punca ketegangan antara kedua-dua negara.

"Satu das tembakan meriam dilepaskan di Utara dekat sempadan yang menjadi pertikaian di Laut Kuning," kata jurucakap kementerian pertahanan.

"Kelongsong peluru meriam mendarat di bahagian utara dekat sempadan laut dan tiada kerosakan di pihak kami," katanya.

Sementara itu, agensi berita Yonhap berkata, tembakan meriam berkenaan menyebabkan penduduk di Pulau Yeonpyeong mencari perlindungan bagi menyelamatkan diri. - AFP

Berita Harian X