Isnin, 8 Februari 2016 | 9:56am
BOT di tebing Sungai Yalu di bandar sempadan Dandong, China, bertentangan dengan bandar Sinuiju, Korea Utara. - Foto AFP
BOT di tebing Sungai Yalu di bandar sempadan Dandong, China, bertentangan dengan bandar Sinuiju, Korea Utara. - Foto AFP

Bot peronda Korea Utara ceroboh perairan jiran

SEOUL: Bot peronda Korea Utara dilaporkan melintasi perairan Korea Selatan awal hari ini sebelum berpatah balik selepas tentera laut jirannya itu melepaskan tembakan amaran.

Pegawai tentera Korea Selatan berkata, pencerobohan terbaharu itu susulan meningkatnya ketegangan di Semenanjung Korea, sehari selepas Korea Utara melepaskan roket yang membawa satelit angkasa lepas yang dianggap melanggar perjanjian berkaitan peluru berpandu.

Bot peronda itu menyeberangi Garisan Had Utara yang tidak diiktiraf Korea Utara di Laut Kuning di barat Semenanjung Korea pada jam 6.55 pagi waktu tempatan berdekatan Pulau Socheongdo.

Agensi berita Yonhap berkata, bot peronda itu bertindak menyeberangi luar garis sempadan perairan meskipun diberi amaran menerusi komunikasi oleh tentera laut Korea Selatan.

Selepas melepaskan lima tembakan amaran oleh senjata kapal laut Korea Utara, bot peronda berkenaan berpatah semula kira-kira jam 7.15 pagi.

Korea Utara enggan mengiktiraf apa yang digelar Garisan Had Utara ketika tamatnya Perang Korea 1950-1953 dan sering kali mencabar zon berkenaan menerusi pencerobohan kapalnya serta melepaskan tembakan artileri berdekatan atau melangkaui zon berkenaan. - AFP

Berita Harian X