Sabtu, 23 Januari 2016 | 6:30pm

Pesawat India mendarat cemas selepas ancaman bom palsu

PESAWAT penumpang India, GoAir.
PESAWAT penumpang India, GoAir.

NEW DELHI: Sebuah pesawat penumpang India terpaksa melakukan pendaratan cemas di wilayah barat Nagpur, hari ini selepas menerima ancaman bom palsu, menurut syarikat penerbangan GoAir.

Pesawat GoAir yang membawa 150 penumpang sedang dalam perjalanan dari Bhubaneshwar menuju ke Mumbai sebelum pihak berkuasa menerima panggilan daripada seorang individu tidak mahu dikenali yang menyebut ada bom dalam pesawat itu.

"Pusat kawalan menerima ancaman bom (pesawat) kemudian laluan diubah menuju Nagpur," kata GoAir dalam kenyataan menerusi e-mel.

Katanya lagi, penumpang dikeluarkan dari pesawat sebelum pengawal keselamatan lapangan terbang menggeledah pesawat dan bagasi.

GoAir menambah tiada bom ditemui dalam pesawat itu dan penumpang dibenarkan menaiki semula selepas pesawat diberi kebenaran untuk terbang semula menuju Mumbai.

Mengikut syarikat penerbangan tambang rendah itu, polis sedang menyiasat ancaman itu. - AFP

Berita Harian X