Isnin, 28 Disember 2015 | 12:16pm

Korea-Jepun runding isu hamba seks perang

FUMIO Kishida dan Yun Byung-Se.
FUMIO Kishida dan Yun Byung-Se.

SEOUL: Menteri Luar Korea Selatan dan Jepun bakal mengadakan perbincangan hari ini berhubung isu ratusan ribu wanita dijadikan hamba seks ketika perang, isu lama yang masih menjejaskan hubungan dua negara.

Media Korea Selatan melaporkan, sejam sebelum pertemuan Menteri Luar Korea Selatan, Yun Byung-Se dan rakan sejawatnya, Fumio Kishida, Seoul dan Tokyo sudah berusaha untuk mencapai kata persetujuan dalam menyelesaikan isu 'comfort women' (wanita penenang).

Dianggarkan kira-kira 200,000 wanita dijadikan hamba seks oleh Jepun ketika Perang Dunia II, kebanyakannya terdiri daripada wanita Korea dan mereka diberi jolokan 'comfort women'.

Susulan itu, Seoul menuntut permohonan maaf secara rasmi dan ganti rugi kepada 46 wanita Korea yang masih hidup.

Akhbar harian Joongang Ilbo melaporkan kerajaan Korea Selatan dipetik sebagai berkata, kedua-dua pihak menemui jalan penyelesaian kepada isu yang menjejaskan hubungan dua negara terbabit.

"Adalah menjadi tanggungjawab di bawah undang-undang kerajaan Jepun untuk memindahkan 'Comfort women' ketika perang," kata sumber kerajaan.

Akhbar itu melaporkan, hasil perbincangan yang bakal menjadi penyelesaian, membabitkan penggunaan dana kerajaan untuk membayar pampasan kepada mangsa atau dikenali sebagai 'atonement Recompense' (pampasan perdamaian).

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe turut menulis surat memohon maaf kepada mangsa, yang akan dihantar secara peribadi kepada mereka oleh Duta Jepun di Seoul, demikian menurut akhbar itu lagi. - AFP

Berita Harian X