Isnin, 28 Disember 2015 | 7:58am

34 maut puting beliung landa tengah, selatan AS

KEMUSNAHAN akibat puting beliung di Rowlett, Texas, Amerika Syarikat. - Foto AFP
KEMUSNAHAN akibat puting beliung di Rowlett, Texas, Amerika Syarikat. - Foto AFP

DALLAS: Ribut petir melanda selatan dan tengah Amerika Syarikat (AS) sepanjang cuti Krismas yang membawa kepada banjir kilat dan puting beliung, menyebabkan sekurang-kurangnya 34 maut serta berjuta penumpang terkandas.

Di Dallas, sekurang-kurangnya 11 terbunuh sepanjang hujung minggu akibat puting beliung, termasuk satu kejadian di mana angin dilaporkan selaju 322 kilometer sejam.

Puting beliung turut melanda Bandaraya Garland, mengorbankan lapan nyawa dengan kenderaan tercampak dari lebuh raya.

"Puting beliung yang berkekuatan sedemikian amat jarang berlaku di kawasan metropolitan," kata pakar meteorologi Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan, Matt Bishop.

Kematian lain turut dilaporkan di kawasan metropolitan Dallas, bandar raya keempat paling sesak di AS yang dihuni lebih tujuh juta penduduk.

"Ramai lagi dilaporkan cedera di wilayah berkenaan," demikian menurut pegawai kerajaan.

"Ia satu kemusnahan total," kata jurucakap polis Garland, Lt Pedro Barineau.

Di Illinois, tiga dewasa dan dua kanak-kanak lemas selepas kereta yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras pada malam Sabtu di perkampungan Patoka, kira-kira 137 kilometer di timur St. Louis, demikian menurut media tempatan.

Ribut petir yang melanda dua hari sebelum sambutan Krismas sudah mengorbankan 18 orang, termasuk 10 di Mississippi.

Lima kejadian puting beliung dilaporkan di Texas dan satu di Oklahoma pada Sabtu, kata Perkhidmatan Keji Cuaca Kebangsaan AS.

Gabenor Texas, Greg Abbott mengisytiharkan Dallas County dan tiga lagi daerah berdekatan sebagai kawasan bencana.

Pihak berkuasa juga melaporkan, lebih 1,100 penerbangan terpaksa dibatalkan dengan 25, 000 penduduk di Texas bergelap berikutan bekalan elektrik terjejas.

Di New Mexico pula, salji tebal melanda sehingga kira-kira satu meter. - Reuters

Berita Harian X