Sabtu, 26 Disember 2015 | 2:59pm

Operasi di ISGIA seperti biasa - MAHB

ANGGOTA polis Turki memeriksa kawasan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul. - Foto EPA
ANGGOTA polis Turki memeriksa kawasan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul. - Foto EPA

KUALA LUMPUR: Keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA) dan kawasan sekitarnya kekal pada tahap tinggi berikutan satu letupan di lapangan terbang berkenaan pada 23 Disember lepas, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengendali lapangan terbang itu berkata, keselamatan di perimeter lapangan terbang itu dinilai dan diluluskan pihak berkuasa Turki untuk operasi disambung semula dalam masa secepat mungkin.

"Pihak berkuasa Turki sedang menyiasat kejadian itu dan Malaysia Airports sedang menunggu laporan rasmi daripada mereka.

"Saluran komunikasi rasmi diwujudkan kerajaan Turki ialah Pejabat Gabenor Istanbul," menurutnya dalam satu kenyataan.

Menurut MAHB, lapangan terbang itu beroperasi semula seperti biasa pada jam 4 pagi 23 Disember, dua jam selepas letupan, kerana kerosakan infrastruktur lapangan itu minimum dan tidak menjejaskan sebarang kedudukan parkir 78 pesawat.

Katanya, ia akan membuat pengumuman lanjut apabila lebih banyak maklumat dikeluarkan oleh saluran komunikasi rasmi Turki.

Pada 24 Disember, ISGIA mencatat sejumlah 544 pergerakan trafik udara dan 76,367 pergerakan trafik penumpang.

"Ketibaan dan pelepasan semua penerbangan berjalan mengikut jadual dengan tidak ada pembatalan.

"Jumlah penumpang bergerak melalui ISGIA adalah pada volum normal dengan 27,308 pergerakan penumpang domestik dan 49,059 antarabangsa dicatat sepanjang hari pada 24 Disember," menurut MAHB.

- BERNAMA

Berita Harian X