Rabu, 21 Oktober 2015 | 8:54pm

SU Agung PBB beri amaran Israel, Palestin

 SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon. - Foto AFP
SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon. - Foto AFP

RAMALLAH: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon memberi amaran kepada Israel dan Palestin supaya berundur daripada terus meningkatkan keganasan.

Ban bertemu dengan Presiden Palestin, Mahmud Abbas hari ini selepas berunding dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam.

Dalam pertemuan antara Ban dan Netanyahu semalam, pemimpin Israel itu tidak menunjukkan reaksi toleransi, sebaliknya mengecam keras Abbas kerana menyemarakkan api keganasan dan menolak dakwaan Israel menggunakan kekerasan melampau.

Ban berkata beliau membayangkan kebimbangan global mengenai peningkatan bahaya keganasan antara Israel dan Palestin.

Beliau menggesa kedua-dua pihak supaya mengambil langkah mengelak terjerumus ke dalam jurang bahaya.

Dengan peningkatan kebimbangan antarabangsa, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, juga akan bertemu Netanyahu lewat minggu ini di Jerman selain Abbas dan Raja Abdullah dari Jordan di lokasi tidak diketahui di Asia Barat.

Serangan dan ketegangan selama tiga minggu antara Palestin dan Israel tetap berterusan walaupun ketika Ban tiba untuk lawatan mengejut selama dua hari itu.

Dalam serangan terbaru, seorang wanita cedera ditembak selepas didakwa mendekati penempatan Israel dengan pisau pagi semalam. -AFP

Berita Harian X