Ahad, 18 Oktober 2015 | 9:24am
ANGGOTA polis memberikan pakaian kepada pelarian etnik Rohingya di Aceh. - Foto fail Reuters
ANGGOTA polis memberikan pakaian kepada pelarian etnik Rohingya di Aceh. - Foto fail Reuters

Pelarian Rohingya lari dari kem di Aceh, dipercayai dihasut sindiket

BANDA ACEH: Sejumlah 182 pelarian etnik Rohingya melarikan diri dari kem di wilayah Aceh, Indonesia, dipercayai dihasut sindiket penyeludupan manusia untuk berbuat demikian.

Jurucakap kerajaan daerah Aceh Utara, Amir Hamzah, berkata pemeriksaan kerajaan dengan kerjasama Pertubuhan Migrasi Antarabangsa dan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mendapati, hanya 140 orang daripada 322 pelarian Rohingya berada di pusat perlindungan pelarian di kampung Blang Adoe di utara Aceh itu.

"Kami syak mereka dihasut ejen penyeludup manusia yang menjanjikan untuk membawa mereka ke Malaysia kerana ramai keluarga mereka berada di sana," kata Hamzah.

Beliau berkata, polis kini menjalankan siasatan mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab ke atas perkara itu.

Hamzah berkata, pelarian berkenaan mungkin lari berkumpulan, tetapi beliau tidak memperincikan bila mereka mula hilang.

Mereka adalah sebahagian daripada 3,000 warga Islam Rohingya dan Bangladesh yang ditinggalkan penyeludup manusia, kemudian diselamatkan atau hanyut ke pesisir Indonesia, Malaysia dan Thailand pada Mei lalu.

Indonesia menempatkan 1,346 pelarian dan pendatang warga Rohingya dan Bangladesh. Mereka ditahan di kem dan ada yang terasing daripada ahli keluarga, termasuk yang menetap di Malaysia. Kebanyakan warga Bangladesh sudah dihantar pulang ke negara mereka. - AP

Berita Harian X