Jumaat, 16 Oktober 2015 | 4:10pm

China sedia adakan latihan laut bersama dengan ASEAN

CHANG Wanquan (empat dari kanan) bersama rakan sejawat dari ASEAN pada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan China-ASEAN di Beijing, hari ini. - Foto Reuters
CHANG Wanquan (empat dari kanan) bersama rakan sejawat dari ASEAN pada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan China-ASEAN di Beijing, hari ini. - Foto Reuters

BEIJING: Menteri Pertahanan China, Chang Wanquan, berkata negaranya sanggup mengadakan latihan bersama di kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan dengan negara ASEAN, membabitkan aspek pertembungan tidak sengaja serta usaha mencari dan menyelamat.

Hubungan China dengan beberapa negara ASEAN, terutama Filipina dan Vietnam, tegang berikutan tindakan keras Beijing dalam menuntut wilayah di Laut China Selatan yang dipertikaikan.

China mempunyai tuntutan bertindih dengan Vietnam, Filipina, Malaysia, Taiwan dan Brunei di Laut China Selatan yang menjadi laluan perdagangan bernilai AS$5 trilion setiap tahun.

Chang memberitahu rakan sejawatannya dari 10 negara anggota ASEAN pada sidang kemuncak tidak rasmi di Beijing bahawa apa yang perlu dilakukan ialah berusaha untuk memantapkan hubungan dan mengekalkan kestabilan serantau.

Dalam kenyataan Kementerian Pertahanan China di laman sosial, Chang dipetik sebagai berkata semua pihak perlu mengurus dan mengawal segala risiko pertelagahan.

"China sanggup mengadakan latihan bersama dengan negara ASEAN tahun depan di Laut China Selatan berhubung peraturan pertembungan tidak sengaja di laut, operasi mencari dan menyelamat serta bantuan bencana," menurut kenyataan itu tanpa memberikan butirannya.

Laporan media menyatakan Amerika Syarikat membuat keputusan untuk melaksanakan operasi kebebasan pelayaran dalam kawasan had 12 batu nautika yang ditetapkan China di sekitar pulau dan terumbu karang di Kepulauan Spratly.

China menafikan ia menjadikan Laut China Selatan sebagai kawasan ketenteraan dan menegaskan kebanyakan pembinaan di situ adalah untuk tujuan awam dan memberi amaran bahawa Beijing tidak akan membiarkan pencerobohan perairannya biarpun atas nama kebebasan pelayaran. - Reuters

Berita Harian X