Sabtu, 30 Mei 2015 | 10:34pm

Gempa 8.5 magnitud gegarkan Jepun, tiada ancaman tsunami

PAKAR gempa bumi di Agensi Meteorologi Jepun, Koji Nakamura mengadakan sidang media berkenaan gempa di Tokyo hari ini. - Foto AFP
PAKAR gempa bumi di Agensi Meteorologi Jepun, Koji Nakamura mengadakan sidang media berkenaan gempa di Tokyo hari ini. - Foto AFP

TOKYO: Gempa bumi 8.5 magnitud menggegarkan Pantai Timur Jepun petang tadi, menyebabkan bangunan termasuk di Tokyo bergegar tetapi tiada amaran tsunami serta tiada laporan kerosakan kerana gempa berlaku jauh di dalam bumi.

Selain itu, tiada juga laporan masalah di loji nuklear Fukushima Dai-ichi yang terjejas teruk empat tahun lalu selepas digegarkan gempa 9.0 pada skala richter.

Sistem kereta api laju Shinkansen hanya terhenti sekejap antara Tokyo dan Osaka berikutan gangguan bekalan elektrik manakala kereta api di Tokyo dihentikan sementara untuk pemeriksaan keselamatan, menyebabkan ramai yang kelihatan menunggu di luar stesen.

SEORANG wanita melihat jadual kereta api yang tertangguh di stesen Ikebukuro selepas gempa bumi menggegar Tokyo hari ini. - Foto EPA
SEORANG wanita melihat jadual kereta api yang tertangguh di stesen Ikebukuro selepas gempa bumi menggegar Tokyo hari ini. - Foto EPA

Gempa itu berpusat di pulau terpencil Ogasawara di selatan Tokyo, terjadi pada kedalaman 590 kilometer, bagaimanapun dapat dirasai di sebahagian besar negara itu.

"Memang rasa bergegar beberapa ketika. Memang menakutkan kerana sudah lama tidak lalui pengalaman sebegitu," kata Michiko Orita, seorang penduduk pulau Hahajima seperti yang dipetik stesen TV, NHK.

Sementara itu Pakar Gempa Bumi di Universiti Tokyo, Naoki Hirata, berkata ia memang gempa kuat tetapi mujurlah ia berlaku sangat jauh di dalam bumi.

"Tapi, gegarannya boleh dirasi di kawasan luas, ..cuma ia sangat dalam, tiada ancaman tsunami," katanya.

Pada 11 Mac 2011, gempa bumi 9.0 magnitud mencetuskan tsunami menyebabkan lebih 20,000 terbunuh serta menjejaskan satu reaktor loji nuklear Fukushima Dai-Ichi. - AP

Berita Harian X