Khamis, 28 Mei 2015 | 2:50pm

1,400 maut suhu panas berterusan di India

LELAKI tidur di atas tapak sementara yang dibina di atas longkang sebelah setinggan pada musim panas di New Delhi, India. - Foto REUTERS
LELAKI tidur di atas tapak sementara yang dibina di atas longkang sebelah setinggan pada musim panas di New Delhi, India. - Foto REUTERS

NEW DELHI: Suhu panas yang melanda sebahagian besar negeri Andhra Pradesh, Telangana dan Odisha di utara India mungkin berterusan beberapa hari lagi, dengan jumlah penduduk yang maut akibat gelombang haba kini mencecah 1,400 orang.

Jabatan Meteorologi India (IMD) meramalkan suhu mungkin menurun sedikit hujung minggu ini dan hanya beberapa tempat di negeri Odisha kekal sebagai 'zon merah', manakala gelombang haba dahsyat dijangka berterusan beberapa hari lagi.

"Negeri-negeri ini akan menyaksikan penurunan suhu lebih kurang dua darjah Celsius mulai Khamis, walaupun musim monsun akan bermula seperti biasa," kata buletin amaran cuaca All India yang dikeluarkan IMD.

Sementara itu, menurut pegawai di sini, lima kematian akibat strok haba dilaporkan semalam.

Telangana dan Andhra Pradesh mencatat 1,345 daripada jumlah kematian, termasuk 1,020 di Andhara Pradesh.

Pakar cuaca dan perubatan mengaitkan jumlah besar kematian di Andhra Pradesh dan Telangana dengan peningkatan suhu secara mendadak.

Suhu di kebanyakan tempat di Andhra Pradesh dan Telangana berlegar sekitar 39 darjah Celsius sejak awal Mei sebelum meningkat tiga hingga empat darjah dan menyebabkan jumlah kematian meningkat secara drastik sejak 21 Mei.

Akhbar harian tempatan, The Hindu, melaporkan hampir 20,000 orang maut akibat gelombang haba di India sejak 1990.

Sebahagian besar kematian berkaitan haba dicatat di lima negeri iaitu Andhra Pradesh, Punjab, Uttar Pradesh, Odisha dan Bihar.

Sebahagian besar mangsa terdiri daripada mereka yang berusia 45-59 tahun, dengan lebih 80 peratus daripada mereka adalah lelaki.

- BERNAMA

Berita Harian X