Isnin, 18 Mei 2015 | 9:30am

9 maut, 18 cedera pertempuran geng motosikal

PIHAK berkuasa sedang menyiasat kejadian tembak menembak di restoran Twin Peaks Sports Bar and Grill. - Foto AP
PIHAK berkuasa sedang menyiasat kejadian tembak menembak di restoran Twin Peaks Sports Bar and Grill. - Foto AP

WACO, Texas: Tembak menembak antara geng motosikal di sebuah restoran popular di bandar ini pada Ahad menyebabkan sembilan maut manakala 18 lagi cedera, kata jurucakap polis.

Pertempuran itu berlaku di restoran Twin Peaks Sports Bar and Grill, membabitkan sekurang-kurangnya tiga geng motosikal ketika restoran itu penuh dengan pengunjung yang menikmati hidangan tengah hari.

Sarjan W Patrick Swanton dari Balai Polis Waco berkata lapan orang maut di tempat kejadian manakala seorang lagi di hospital. Semua mereka adalah ahli geng motosikal.

Seramai 18 orang lagi cedera akibat terkena tembakan dan tikaman senjata.

"Masih ada mayat di kawasan parkir Twin Peaks dan bangunan bersebelahan," katanya.

Gambar di tempat kejadian menunjukkan berpuluh-puluh motosikal diparkir di suatu kawasan. Kelihatan sekurang-kurangnya tiga orang yang memakai jaket penunggang motosikal terbaring di tanah, sementara polis dan beberapa orang lain yang dipercayai adalah geng motosikal turut kelihatan di kawasan itu.

Swanton berkata, polis memang maklum akan ada tiga kumpulan motosikal berkumpul di restoran itu dan sekurang-kurangnya 12 pegawai polis Waco serta pasukan sukarela berada di restoran ketika pergaduhan itu berlaku.

Ketika tembak menembak berlaku di restoran dan kemudian merebak keluar, geng motosikal yang bersenjata ditembak oleh pegawai polis, kata Swanton sambil menambah tindakan itu mengelakkan lebih ramai terbunuh.

Bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan sama ada sembilan yang terbunuh disebabkan ditembak pegawai polis.

Belum dapat dipastikan juga punca keganasan itu tercetus tetapi Swanton dan Peguam Daerah McLennan, Abel Reyna berkata ketegangan sudah berlanjutan sejak beberapa lama antara geng motosikal di kawasan itu.

"Nampaknya pengurusan (Twin Peaks) membenarkan mereka di situ, jadi kami tidak boleh buat apa-apa," kata Swanton.

Cubaan menghubungi pengurusan Twin Peaks bagaimanapun gagal.

Pergaduhan dalam restoran bermula dengan tumbuk menumbuk sebelum merebak kepada serangan menggunakan rantai besi dan pisau sebelum membabitkan penggunaan senjata api.

Swanton berkata, tiga ahli geng motosikal yang bersenjata turut ditahan ketika mereka cuba masuk ke kawasan tembak menembak itu untuk membantu rakan mereka.

Pihak berkuasa dengan dibantu pasukan persekutuan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan itu. - AP

Berita Harian X