Jumaat, 23 Januari 2015 | 8:02pm
RAJA Abdullah Abdulaziz. - Foto AFP
RAJA Abdullah Abdulaziz. - Foto AFP

Iran ucap takziah atas kemangkatan Raja Abdullah

ANKARA: Iran merakamkan ucapan takziah kepada rakyat dan kerajaan Arab Saudi atas kemangkatan Raja Abdullah Abdulaziz awal pagi ini.

Menteri Luarnya, Mohammad Javad Zarif akan berkunjung ke Riyadh untuk menghadiri upacara pengebumian.

Hubungan di antara Tehran dan Riyadh tegang sejak kebangkitan revolusi Islam Iran 1979 yang memberi kuasa kepada ulama Syiah, bertentangan dengan ajaran konservatif Sunnah pentadbiran diraja itu.

"Mohammad Javad Zarif akan menghadiri upacara pengebumian Allahyarham Raja Abdullah di Riyadh," agensi berita separa-rasmi Tasnim memetik jurucakap menterinya, Marziyeh Afkham sebagai berkata.

Zarif bercadang berkunjung ke Arab Saudi sebelum ini namun menangguhkan lawatannya sebagai bantahan terhadap keengganan Riyadh untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah dan membantu menaikkan harga minyak dunia, kata seorang pegawai Iran minggu lalu.

Tehran dan Riyadh masing-masing menyokong pihak lawan dalam beberapa peperangan serantau dan pertelingkahan termasuk di Bahrain, Yaman, Syria, Iraq dan Lubnan, namun seorang pembantu keselamatan kepada Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata Selasa lalu bahawa Iran sudah "bersedia untuk perbincangan jelas dan berterusan dalam pelbagai isu meluas merangkumi kepentingan bersama dengan Arab Saudi."

Sejak pemilihan Presiden Hassan Rouhani pada Jun 2013, Iran mula ditarik untuk memperbaiki hubungan diplomatik dengan Arab Saudi. Bagaimanapun hubungan itu menjadi runcing sejak beberapa bulan kebelakangan ini berikutan penurunan harga minyak dunia.

Kedua-dua negara adalah anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) namun pihak berkuasa Iran melahirkan kekecewaannya terhadap Arab Saudi kerana tidak mengambil langkah untuk mengurangkan bekalan.

Iran menjadi antara negara pengeksport minyak paling teruk terjejas akibat kejatuhan itu, harga yang menjunam lebih daripada separuh sejak Jun 2014 - oleh kerana bajet terkininya adalah berdasarkan jualan AS$100 (RM359.96) setong.

Harga minyak meningkat Jumaat berikutan kemangkatan Abdullah, dengan pelabur melihat jika penggantinya berjaya mengekalkan pengeluaran ketika berdepan lebihan bekalan di peringkat global. -AFP/Reuters

Berita Harian X