Khamis, 21 Ogos 2014 | 11:14am

Hamas beri amaran syarikat penerbangan jangan memasuki Tel Aviv

GAZA CITY: Hamas hari ini memberi amaran kepada syarikat penerbangan asing agar mengelak daripada memasuki Tel Aviv berkuat kuasa serta-merta susulan rundingan Palestin-Israel gagal mencapai sebarang persetujuan.

Amaran itu dibuat selepas jet pejuang Israel terus melancarkan serangan udara sejak semalam sebagai tindak balas terhadap serangan roket Hamas di selatan Israel.

Serangan tercetus kembali selepas beberapa siri gencatan senjata berlarutan selama sembilan hari tamat semalam.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak agar Palestin dan Israel kembali di meja rundingan segera bagi meredakan pertikaian di Gaza.

Bagaimanapun, jurucakap Hamas bagi sayap tenteranya, Abu Obeida, berkata kumpulan itu memutuskan untuk meninggalkan rundingan gencatan senjata dengan Israel.

"Kami minta delegasi Palestin segera meninggalkan Kaherah dan jangan kembali lagi," kata Abu Obeida dalam siaran televisyen saluran tv Hamas, Al-Aqsa TV.

"Kami memberi amaran kepada penerbangan asing agar menghentikan penerbangan ke Lapangan Ben Gurion mulai 6 pagi (0300 GMT)," katanya yang berpakaian tentera dengan mukanya ditutup dengan lilitan kain merah putih.

Bulan lalu, banyak syarikat penerbangan antarabangsa menangguhkan sementara penerbangan ke o Tel Aviv selepas roket Hamas disasarkan berdekatan lapangan terbang. - AP

Berita Harian X