Isnin, 18 Ogos 2014 | 4:28pm

Aquino akui sukar lengkapkan proses damai di Mindanao

MANILA: Presiden Filipina, Benigno Aquino mengakui sukar bagi kerajaan dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) melengkapkan proses perdamaian bagi membuka jalan kepada pembinaan sebuah kawasan autonomi baru di Mindanao.

Bagaimanapun, Aquino tetap optimis ia dapat direalisasikan biarpun kelewatan penyerahan draf Rang Undang-Undang Asas Bangsamoro bagi persetujuan dan penelitian pihak Kongres.

   

"Bila kami masuk (dalam rundingan ini), kami tidak pernah mengatakan hanya kerana kami memintanya, ia akan berlaku (pembentukan kawasan autonomi baru).

   

"Kami perlu bersabar dan saya optimis," kata Aquino dalam satu temu bual bersama TV5 dan dipetik menerusi portal tempatan negara itu, Inquirer net.

 

 Aquino sepatutnya menerima draf itu hari ini namun portal GMANews melaporkan, ia mungkin diserahkan kepada Aquino pertengahan minggu ini.

 

 Penasihat presiden itu, Teresita Deles yang memaklumkannya turut menyatakan draf berkenaan dijangka dihantar kepada Kongres menjelang hujung Ogos.

   

"Bukan hari ini. Perjanjian dalam minggu ini, mungkin pertengahan minggu," katanya.

 

 Setiausaha Komunikasi, Herminio Coloma semalam turut menyatakan bahawa Aquino kekal berazam melengkapkan proses damai itu untuk membentuk kestabilan dan pembangunan berkekalan kepada Bangsamoro. - Agensi

Berita Harian X