Ahad, 2 Julai 2017 | 3:53pm

BH terus relevan, perkukuh versi digital

BH menyambut ulang tahun ke-60 hari ini. Sejak mula diterbitkan, pelbagai cabaran, dugaan dan halangan berjaya diharungi BH sehingga mampu menjadikannya akhbar arus perdana diyakini pembaca dan relevan dalam kalangan masyarakat.

Ikuti wawancara bersama Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali berkongsikan harapannya memastikan BH terus relevan sebagai akhbar sumber ilmu dan maklumat ketika media digital semakin mendominasi dunia pemberitaan.

S: Sebagai Pengarang Kumpulan BH yang ke-13 menerajui akhbar ini, apa pandangan Datuk mengenai akhbar ini.

J: Pada awal penerbitannya, BH dilihat sebagai akhbar terjemahan New Straits Times (NST). Ini kerana kebanyakkan berita yang disiarkan diceduk daripada NST. Itu sejarah BH. Tetapi persepsi itu kini sudah tiada lagi.

Banyak usaha dilakukan pihak redaksi dan pengurusan untuk membebaskan BH daripada bayangan NST. Ini termasuk memisahkan secara formal antara BH dan NST pada 1985. Berita Harian serta Berita Minggu ketika itu disatukan di bawah Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) dan menjadi entiti baru dalam Kumpulan The New Straits Times (M) Berhad.

Bermula dari situ BH terus mengukuhkan imejnya sebagai akhbar harian utama dengan menyiarkan banyak laporan dan rencana eksklusif. Kini kita boleh berbangga kerana jenama BH cukup kukuh dan diterima pembaca.

S: Datuk mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan sudah berkhidmat selama 32 tahun bersama BH. Boleh Datuk kongsikan pengalaman dilalui selama ini?

J: Saya bertuah dapat berkhidmat di bawah tujuh pengarang kumpulan. Saya banyak belajar daripada pengalaman bekerja di bawah mereka. Setiap pengarang kumpulan mempunyai cara dan pendekatan masing-masing dan saya dapat gunakan pengalaman itu untuk meneruskan kecemerlangan BH. Ini pengalaman berharga kepada saya apabila memimpin BH ketika ini. Setiap era ada cabaran masing-masing.

Contohnya, apabila berlaku krisis politik, saya lihat bagaimana mereka menghadapinya. Itu yang saya pelajari dan terapkan apabila berdepan masalah sama. Begitu juga dalam keadaan ekonomi merudum waktu itu, mereka ada tindakan tertentu untuk menghadapinya. Keadaan sama berlaku apabila saya menerajui BH dan ia menjadi panduan dan membantu saya menguruskan BH.

Pada era saya memimpin BH, cabaran paling besar saya hadapi ialah ledakan media digital sehingga memberi impak kepada media tradisional. BH tidak terkecuali menerima kesan kemunculan media digital. Sebagai sebuah akhbar yang sentiasa mengikut peredaran masa dan kehendak pembaca, BH mengambil langkah memperkenalkan versi online dan digital.

S: Pada pandangan Datuk, apakah keistimewaan BH dan apakah yang boleh dibanggakan dari dahulu sehingga kini dan masa akan datang?

J: Sejak awal penerbitannya, kandungan yang disiarkan BH sesuai untuk dibaca seisi keluarga dan sehingga kini kita masih mengekalkan konsep itu.

Walaupun kita melakukan perubahan demi perubahan dengan pendekatan yang mungkin berbeza, konsepnya tetap sama. Apabila kita menjadikan BH sebagai akhbar untuk bacaan keluarga, kami menjadikan elemen pendidikan sebagai teras kandungannya.

Seiring itu, pada 20 Oktober 1985, BH melancarkan Akhbar Dalam Darjah (ADD). yang menjadi akhbar rujukan di sekolah sehingga hari ini.

Ramai pelajar membesar dengan BH dan mencipta kecemerlangan bersama BH. BH satu-satunya akhbar yang mempunyai segmen pendidikan lengkap dari sekolah rendah melalui sisipan DIDIK, manakala MINDA PELAJAR bagi menengah rendah, SKOR (menengah atas) dan tidak ketinggalan VARSITI untuk peringkat universiti. Seiring dengan perubahan masa dan perkembangan era digital, kita juga mewujudkan portal pendidikan.

Yang kita boleh banggakan ialah BH menjadi akhbar rujukan di sekolah. Sementara itu, kandungan atau segmen lain dalam BH juga tidak berubah seperti berita politik dan hiburan. Tetapi secara umum kita lebih menumpukan aspek pendidikan dan ambil pendekatan sederhana dalam laporan kita kerana BH menjadi rujukan pelajar.

Berita hiburan juga ditulis dengan pendekatan berhemah, tidak tertumpu kepada gosip atau cerita sensasi. BH juga boleh diakses di semua platform dalam talian, aplikasi peranti pintar dan media sosial.

S: Media cetak dan akhbar arus perdana seperti BH kini berdepan dengan persaingan media sosial yang menyajikan berita bersifat 'real time' menerusi internet dan portal berita. Bagaimana BH hendak bersaing dengan media sosial bagi memastikan pembaca memilih BH sebagai sumber berita utama mereka?

J: Selagi BH ada pembaca macam sekarang, selagi itu kita akan pertahankan akhbar tradisional. Tetapi pada masa sama kita juga tidak mahu ketinggalan dalam era digital. Malah, kita sudah mengambil tindakan berani lebih awal lagi dengan menggabungkan secara bersepadu akhbar tradisional dan digital.

Sebagai contoh, BH adalah akhbar pertama memperkenal konsep 'berita premium' yang mengenakan caj terhadap kandungannya menerusi segmen BH Plus. BH menjadi akhbar pertama mengambil pendekatan ini.

Dari segi maklum balas, bilangan pembaca yang hendak mengakses BH Plus agak tinggi. Cuma sekarang masyarakat masih hendak berita percuma. Tetapi suatu hari nanti berita kita tidak ada yang percuma lagi.

Sekarang sudah ada media digital mengenakan bayaran untuk setiap kandungan beritanya. Kita sudah mengambil tindakan berani lebih awal lagi. Sekarang kita ada laporan menerusi BH Online dan jumlah pembaca dalam talian terus meningkat. Malah kita sekarang beroperasi hampir 24 jam.

Kita mencatat pengikut sehingga 4.6 juta dalam Facebook, 1.1 juta pengikut akaun Twitter dan 306,000 pengikut Instagram. Manakala, 'page view' 37.5 juta. Saya percaya masyarakat sudah dapat terima jenama BH.

Daripada dulu lagi kita tidak statik. Kita juga ubah saiz BH daripada 'broadsheet' kepada 'junior broadsheet' kemudian tukar menjadi saiz kompak.

Kita pernah lakukan beberapa tindakan berani untuk memastikan akhbar kita terus relevan misalnya kita guna logo baharu daripada Berita Harian kepada BH, Berita Minggu ditukar menjadi BH Ahad supaya ada kesinambungan jenama BH. Semua perubahan ini dilakukan untuk memastikan BH terus relevan.

S: Pada pandangan Datuk, apakah cabaran yang sering dihadapi sidang pengarang BH untuk memastikan kandungan berita dan BH sentiasa relevan serta memenuhi citarasa pembaca?

J: Pada saya BH akan tetap relevan sampai bila-bila. Untuk memastikan BH terus relevan dan memastikan kelangsungan kewujudannya, warga kerja BH perlu mengubah cara berfikir dan bekerja sesuai dengan peredaran masa apabila media digital kini semakin berpengaruh.

Kita kena lakukan perubahan dan ia memerlukan pengorbanan. Kita tidak boleh terus bernostalgia dengan perkara yang pernah dekat dan ada nilai sentimental pada BH selama ini.

Warga kerja BH perlu menerima realiti dan melakukan perubahan untuk memastikan kelangsungannya. Kalau perlu kita korbankan 'benda' yang sebati dengan kita, bukan untuk diri kita tapi untuk masa depan BH.

Seandainya pada masa akan datang BH terpaksa mengurangkan cetakan akhbar dan fokus kepada akhbar digital, kalau perlu lakukan itu, kita terpaksa buat.

Hari ini, kita perlu fokus kepada digital dan membuat persiapan untuk menyediakan kandungan berita digital. Kita perlu bersiap sedia untuk mendapat tempat di pasaran dan memenangi hati pembaca.

S: Bermakna warga kerja BH perlu tetapkan pemikiran mereka untuk pastikan BH terus relevan?

J: Dalam setiap perubahan, ia tidak boleh dilakukan secara mendadak, apatah lagi kebanyakan wartawan sudah biasa dan sebati dengan kewartawanan tradisional. Ia dilakukan secara berperingkat dan memberikan mereka latihan berterusan.

Wartawan BH sekarang bukan setakat menulis berita tetapi sudah mampu menjadi pengulas dan bersiaran secara langsung melaporkan sesuatu acara atau situasi dalam Facebook selain mengendalikan Kapsul BHTV.

Maknanya wartawan sekarang tidak boleh lagi bekerja mengikut cara tradisional tetapi mengikut perubahan masa. Mereka perlu menjadi wartawan pelbagai peranan seperti mengambil gambar dan video, membuat siaran langsung.

Kita juga dalam proses ke arah menerbitkan akhbar lebih pantas menerusi sistem 'muka surat automatik' iaitu muka surat akhbar dibuat di peringkat wartawan menulis berita dan pengarang berita boleh terus membuat muka surat berserta tajuknya secara automatik.

S: Apa harapan Datuk kepada pembaca agar terus setia membaca dan menyokong BH?

J: Saya ucapkan terima kasih kepada pembaca kerana terus beri sokongan kepada BH walaupun ada yang mungkin tidak membeli akhbar tradisional tapi mereka beralih ke media digital. Saya bangga pencapaian BH Online kita menunjukkan bilangan pembaca yang cukup tinggi. Maknanya pembaca masih setia bersama BH.

Portal pendidikan kita juga semakin mendapat sambutan. Maknanya, pembaca tetap setia bersama kita walaupun dalam platform digital.

Terima kasih juga kepada pengarang serta warga kerja BH dulu dan sekarang serta semua jabatan sokongan yang bekerja keras untuk memastikan BH terus kekal relevan.

Berita Harian X