Ahad, 2 Julai 2017 | 3:51pm

Berita eksklusif BH beri impak pada masyarakat

ORANG ramai berkumpul di Mahkamah Majistret Raub, Pahang pada 26 Oktober 1993 di mana Maznah Ismail@Mona Fandey, suaminya Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantu mereka Juraimi Husin didakwa membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Datuk Mazlan Idris. - Foto fail NSTP
ORANG ramai berkumpul di Mahkamah Majistret Raub, Pahang pada 26 Oktober 1993 di mana Maznah Ismail@Mona Fandey, suaminya Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantu mereka Juraimi Husin didakwa membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Datuk Mazlan Idris. - Foto fail NSTP

DALAM melalui liku 60 tahun perjalanan sebagai akhbar perdana tanah air, BH turut membawa beberapa berita eksklusif dan pendedahan yang menggemparkan masyarakat.

Dengan niat membela nasib masyarakat dan memberikan laporan mutakhir, laporan berbentuk laporan khas dan eksklusif turut diselitkan.

Beberapa wartawan yang pernah menghasilkan laporan eksklusif yang ditemui menyatakan niat menghasilkan berita sedemikian bukan sekadar memenuhi tugasan yang diberikan tetapi untuk membela nasib pembaca.

Jalal Ali Mohd Abdul Rahim adalah antara wartawan BH yang menyiasat dan membongkar kisah wanita negara ini yang diperdaya sindiket untuk menjadi keldai dadah di luar negara sehingga melayakkan beliau menerima Anugerah Kajai.

Jalal Ali berkata, anugerah itu menjadi kebanggaan, satu penghormatan dan antara kenangan paling manis dalam hidup sepanjang bertugas di BH sejak tahun 1996.

Beliau berkata, pencapaian itu juga hasil tunjuk ajar dan bimbingan barisan kepemimpinan Meja Berita, khususnya Datuk Mahfar Ali (kini Pengarang Kumpulan BH) dalam memperkemaskan berita bertajuk '20 wanita Malaysia dikurung sindiket dadah di Sepanyol'.

"Ketika laporan disedia dan disiarkan termasuk berita susulan, tiada langsung terlintas dalam fikiran untuk mengejar Hadiah Kajai, sebaliknya kepuasan hadir apabila masyarakat khususnya wanita sedar dan berwaspada terhadap sindiket dadah yang memperguna dan memperdaya golongan itu untuk menyeludup dadah ke beberapa negara termasuk di Peru dan Sepanyol.

"Kes disiarkan BH termasuk wanita Malaysia dikurung di Sepanyol dan dikawal lelaki bersenjata api dirasakan cukup memberi ketakutan dan meningkatkan tahap kewaspadaan yang tinggi kepada wanita tempatan," katanya.

Jalal Ali yang kini bertugas di BH Perak berkata, laporan itu mendapat maklum balas daripada keluarga beberapa wanita yang menjadi mangsa selain mendapat kerjasama pihak Wisma Putra dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut melahirkan kebimbangan peningkatan kes berkenaan pada ketika itu.

Birokrasi di pejabat tanah

Sementara itu, seorang lagi bekas wartawan BH, Datuk Khairul Anwar Rahmat, berkata beliau tidak akan lupa jasa Allahyarham Karim Sulaiman, editor yang banyak menyokong dan menggalakkan beliau menyediakan laporan berbentuk penyiasatan dan pendedahan.

Katanya, idea penyediaan laporan pembongkaran berhubung masalah birokrasi di pejabat tanah itu timbul selepas melihat banyak surat pembaca yang diterima Berita Harian mengenai masalah di pejabat tanah.

"Malah, saya juga ada pengalaman menghadapi birokrasi di pejabat tanah. Justeru, dengan rasa ingin tahu dan mahu mengubah birokrasi itu, saya bersama teman seangkatan, Mohd Yusof Sulaiman menyediakan laporan itu," katanya.

Beliau berkata, laporan yang dilakukan melalui tinjauan orang ramai dan temu bual dengan pihak pejabat tanah akhirnya menjadi satu laporan yang menyebabkan satu rombakan besar-besaran dilakukan di pejabat tanah.

"Saya tidak percaya, dengan laporan itu saya dipanggil Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang turut berminat dengan laporan itu seterusnya menyebabkan kerajaan merombak sistem pengurusan di pejabat tanah," katanya yang kini menjadi peguam.

Pengalaman dengan Mona Fandey

Seorang lagi bekas wartawan BH, Kartini Noor menjadi satu-satunya wartawan yang pernah menemubual pasangan bomoh yang pernah menggemparkan tanah air, Mona Fandey dan suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman.

Menceritakan pengalamannya itu, Kartini berkata, beliau menemubual Mona Fandey yang ketika itu menjadi artis rakaman.

"Saya ketika itu bertugas sebagai wartawan meja wanita tetapi diminta editor untuk menemubual Mona kerana wartawan hiburan ramai yang keluar membuat tugasan masing-masing.

"Itulah pengalaman yang paling jerih malah pada pertemuan itu saya juga di cucuk dengan puntung rokok tetapi tidak melecur," katanya.

Beliau kemudian menulis pengalaman itu di Berita Harian yang kemudian mendapat perhatian ramai.

Malah, katanya, beberapa akhbar antarabangsa ada menghubunginya untuk menemuramah mengenai pengalaman beliau dengan Mona Fandey.

Berita Harian X