Ahad, 2 Julai 2017 | 3:45pm

Penyedia berita digital utama bahasa Melayu

ERA perubahan teknologi menjadikan cara penyampaian wartawan dalam menzahirkan berita juga berubah mengikut keadaan semasa.

Baik dari penggunaan telefon gagang hingga ke telefon bimbit, mesin taip kepada komputer seterusnya gajet dalam menyediakan berita yang lebih mudah dan pantas.

Mengimbas kembali cara bekerja wartawan dahulu dan sekarang, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman, berkata proses pengumpulan bahan untuk berita sudah banyak berubah antara dulu dan sekarang kesan perubahan teknologi.

"Mungkin kerana perubahan teknologi membawa kepada perubahan cara atau sikap pegawai atasan dengan press. Dulu pegawai atasan ini sukar memberi maklumat melalui telefon malah tiada masa nak layan panggilan telefon.

"Kami buat temu janji, menghantar senarai soalan yang dijawab secara bertulis dan kerap kali kami ambush mereka ketika mereka sampai ke pejabat atau di majlis dan menunggu seharian di pejabatnya untuk bersemuka.

Pantas peroleh jawapan

"Kini saya amat tertarik melihat perubahan sikap pegawai ini yang boleh memberi komen kepada soalan WhatsApp, jadi wartawan lebih cepat mendapat jawapan," katanya.

Pengarang Eksekutif Pengeluaran Percetakan dan Digital BH, Rosli Safar, berkata selepas enam dekad akhbar BH berada di pasaran, akhbar perlu akur terpaksa menempuh era media digital.

Bagaimanapun, katanya, BH akan terus mempertahankan imejnya sebagai akhbar tradisional tetapi akan memberi tumpuan bagaimana untuk memberi maklumat menyeluruh kepada pembaca.

"Cuma yang mungkin berubah ialah cara penyampaian berita itu kerana kita terpaksa bersaing dengan akhbar digital," katanya.

Beliau berkata, untuk itu BH akan menampilkan fakta tambahan berbanding akhbar digital yang mengutamakan kepantasan.

Sementara itu, Pengarang Eksekutif BH Berita/Rencana/Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, berkata perubahan cara kerja sidang pengarang BH yang menumpukan penghasilan berita digital menjadi pemangkin kepada akhbar ini untuk muncul sebagai pemain utama membekalkan berita digital berbahasa Melayu.

"Malah, wartawan dan pemberita kami cepat menyesuaikan diri dengan cara kerja baharu yang menuntut mereka menulis berita dengan pantas bagi memenuhi kehendak penyediaan berita digital," katanya.

Penulis Khas Kanan BH, Saidon Idris pula berpendapat kemajuan pesat teknologi digital dan alat komunikasi mudah alih menyaksikan perubahan dalam gaya hidup dan cara bekerja.

"Kini BH bukan lagi sekadar akhbar tetapi penyedia kandungan berita dan maklumat yang disampaikan kepada pembaca menerusi pelbagai platform, akhbar cetak, portal dan aplikasi berita serta akaun di laman sosial utama," katanya.

Berita Harian X