Ahad, 2 Julai 2017 | 3:41pm

BH lebih fokus, tersusun

gn4id:21422805

BH tampil berwajah baharu sejak 1 Mei tahun lalu dengan segmen yang lebih fokus dan tersusun bagi memenuhi cita rasa pembaca yang sentiasa mahukan kelainan.

Ketua Penyunting Mingguan/BH2, Nazarudin Abu Bakar, berkata susunan grafik yang lebih ringkas memudahkan pembacaan, selain memberi kepuasan kepada pembaca akhbar digital kerana susun atur yang digunakan adalah sama dengan akhbar dicetak.

Katanya, konsep persembahan dan kandungan berita kini ditampilkan seiring dengan perubahan landskap media.

"BH melakukan perubahan untuk mengukuhkan lagi kedudukan akhbar BH sekali gus memastikan ia terus kekal relevan pada masa akan datang.

"Daripada segi nilai estetika kosmetik, setiap halaman akhbar menekankan penggunaan ruang putih untuk reka letak lebih menarik.

"Ia turut disertakan dengan beberapa elemen penting seperti fakta nombor, info dan reaksi bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pemahaman pembaca terhadap sesuatu berita," katanya.

Sementara itu, Pengarang Seni dan Susun Atur BH, Muhamad Shahrul Nizam Manshor, berkata penggunaan grafik interaktif adalah antara inisiatif BH untuk membangkitkan minat pembaca menerusi platform BH Online.

Katanya, grafik interaktif itu termasuk graf, jadual dan kronologi kemalangan.

"Kita nak tarik minat pembaca. Ini juga membuktikan BH sentiasa bergerak ke hadapan selari perkembangan teknologi.

"Untuk berkembang maju dalam industri media, kita perlu ada inovasi dan kecekapan, menggunakan pendekatan baharu dalam menyediakan kandungan berita.

"Bagaimanapun, kita tidak akan sekali-kali mengabaikan kepentingan akhbar, kita akan terus memperkuatkan imej BH, usahanya seimbang (memaparkan grafik menarik) tidak kira akhbar atau menerusi platform atas talian," katanya.

Berita Harian X