Ahad, 2 Julai 2017 | 3:33pm

Segmen BH lonjak wanita

BAGI memberi sokongan terhadap kebangkitan industri fesyen Muslimah, Unit Wanita mengambil inisiatif menganjurkan Fiesta Muslimah. - Foto Osman Adnan
BAGI memberi sokongan terhadap kebangkitan industri fesyen Muslimah, Unit Wanita mengambil inisiatif menganjurkan Fiesta Muslimah. - Foto Osman Adnan

SEJARAH tercipta dan harus dibanggakan apabila BH adalah akhbar tempatan pertama memperkenal dan menyediakan ruangan khusus untuk wanita.

Lebih enam dekad akhbar BH menerusi halaman Wanita banyak mencetuskan inspirasi dan menyuntik semangat kepada masyarakat untuk meningkatkan martabat golongan itu setanding lelaki.

Pelbagai segmen berkaitan isu kewanitaan dirungkai. Pada awal penerbitannya, ia menekankan isu penjagaan kesihatan wanita, kepentingan pelajaran, kerjaya, isu semasa dan hak wanita.

Kesinambungan diteruskan dan perjuangan BH sebagai wadah ilmu menjadi platform meningkatkan pembangunan dan profesionalisme wanita.

Isu siling kaca, gender, penderaan, personaliti wanita cemerlang, keganasan rumah tangga dan undang-undang syariah kerap menjadi tajuk utama dibincangkan.

Dari kolum jadi sisipan

Halaman Wanita bermula dengan kolum Derma Negara, kemudian ditukar pada Dewan Wanita dan Dunia Raya Wanita pada era 1960-an.

Tidak ramai wartawan yang menyumbangkan penulisan. Bergerak sejajar peredaran masa, halaman wanita kini dijadikan sisipan dan mempunyai unit sendiri dalam BH.

Pada awalnya, sisipan berita wanita, dikenali sebagai Wanita & Keluarga, kemudian ditukar mengikut perubahan bagi mengukuhkan penjenamaannya, iaitu Citra, Ratu, Famili dan terkini, Aura.

Peranan sisipan ini tetap sama kerana meneruskan cirinya sebagai wadah aspirasi wanita dan keluarga.

Unit ini diberikan tanggungjawab dan mandat untuk memberikan pengisian sewajarnya kepada sisipan berkenaan.

Bilangan wartawan di unit ini bertambah seiring dengan penambahan jumlah muka surat dan kewujudan ruangan baharu bagi mengukuhkan pengisiannya.

Bertepatan dengan kehendak semasa, sisipan ini juga menjadi lubuk pengiklan apabila menampilkan reka letak lebih segar bagi memaparkan gaya hidup.

PENCARIAN Chef Selebriti antara program yang pernah dianjurkan Unit Wanita bagi mendekati pembaca. - Foto Adi Safri
PENCARIAN Chef Selebriti antara program yang pernah dianjurkan Unit Wanita bagi mendekati pembaca. - Foto Adi Safri

Kejayaan diraih

Sesetengah berita mengenai wanita menjadi rujukan dan kajian banyak pihak. Lebih membanggakan, penulisan dipaparkan di halaman berkenaan turut mendapat perhatian dan diberikan pengiktirafan pihak tertentu.

Misalnya, pada 2001 sisipan ini buat kali pertama menerima Anugerah Kecemerlangan Kewartawanan 2001 Shell Malaysia kerana memaparkan persoalan kesihatan dan keluarga dalam penggalakkan kesedaran kesihatan di Malaysia.

Wartawan dari Unit Wanita pernah meraih beberapa anugerah menerusi penulisan dipaparkan. Antaranya, Anugerah Kewartawanan DiGi 2003, hadiah Kewartawanan Berita/Rencana Bahasa Melayu anjuran Institut Akhbar Malaysia (AIM) dan Anugerah Wartawan Kesihatan serta Media Massa Pendermaan Organ oleh Kementerian Kesihatan.

Bukan sekadar menerusi penulisan, Unit Wanita turut berkongsi ilmu dengan penganjuran program khusus untuk wanita seperti bengkel kraf, kelas menjahit dan kecantikan.

Bagi mendekati pembaca dan membina jaringan lebih erat, Unit Wanita menganjurkan beberapa program lain seperti Fiesta Muslimah BH (FMBH) bertujuan memberi sokongan padu terhadap kebangkitan industri fesyen Muslimah yang berkembang pesat.

Karnival beli-belah itu sudah memasuki tahun ketiga, selepas program kali pertama pada 2014 dan 2015 mendapat sambutan memberangsangkan

Bagi memartabatkan seni warisan fabrik tenunan dan songket tanah air, Unit Wanita menganjurkan Fiesta Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) selama tiga tahun berturut-turut, bermula 2009, 2010 dan 2011. Fiesta ini turut menganjurkan Anugerah Pesona Tenun Berita Harian, bertujuan melengkapkan ilmu pereka muda dan mengangkat mereka sebagai usahawan berjaya dalam bidang rekaan.

Pada 2011, Unit Wanita mengadakan pertandingan 'Pencarian Chef Selebriti Berita Harian. Ia bertujuan mencungkil bakat memasak suri rumah dan individu dalam bidang kerjaya selain tukang masak.

 Pada 2010 dan 2011, Wanita Pilihan Berita Harian (WPBH) diadakan, bermatlamat mencari personaliti wanita yang mampu menjadi inspirasi kepada wanita lain.

Terkini, sisipan Aura terus mendekati pembaca dengan lapan muka surat, pada setiap Isnin hingga Khamis, bertemakan Kecantikan, Keibubapaan, Fesyen dan Perkahwinan, selain setiap hari mengupas isu kewanitaan.

Berita dipaparkan turut diperoleh menerusi platform BH Online, sejajar dengan ledakan dunia digital masa kini.

Berita Harian X