Ahad, 2 Julai 2017 | 3:28pm

Laporan langsung dari zon konflik

MINARNI menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Damsyik, Syria pada 2014.
MINARNI menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Damsyik, Syria pada 2014.

SEJAK ditubuhkan pada 1 Julai 1957, BH tidak ketinggalan menghantar wartawan dan jurugambarnya ke serata dunia untuk membuat liputan langsung krisis, konflik dan bencana, termasuk krisis kemanusiaan teruk iaitu perang saudara di Syria.

Komitmen BH menghantar wartawan dan jurugambar ke lokasi bahaya bagi memastikan pembaca mendapat maklumat tepat daripada perspektif wartawan Malaysia selain, mengimbangi laporan isu antarabangsa yang kebiasaannya berpandukan kepentingan dunia Barat melalui liputan agensi berita asing.

Teknologi terbaru memudahkan wartawan membuat laporan berita secara langsung sekali gus tidak henti-henti menyajikan laporan tepat dan terkini untuk pembaca BH, termasuk lebih 4.6 juta pengikut Facebook Berita Harian Online, sejajar sasarannya menjadi media peneraju bagi liputan isu kemanusiaan dalam dan luar negara.

Keberadaan BH di medan konflik dan bencana sebenarnya bermula seawal 1980-an lagi, apabila akhbar ini menghantar wartawannya membuat liputan mengenai kumpulan Mujahidin di Afghanistan yang ketika itu menentang penaklukan Soviet Union.

Wartawan BH ke lokasi bencana

Pada 1980-an, BH menghantar wartawannya, Mahfar Ali untuk liputan di wilayah bergolak Afghanistan.

Wartawan BH, M Thillinathan diserang hendap penembak tepat ketika membuat liputan di kawasan bergolak Mogadishu, Somalia pada Mac 1994 bagaimanapun, tiada yang cedera.

Ketika Perang Iraq pada 2003 yang menyaksikan kejatuhan Saddam Hussein, wartawan BH dihantar ke negara bergolak itu untuk membuat laporan dan sekali gus mendapati senjata pemusnah besar-besaran (WMD) yang dimomokkan negara kuasa besar, hanyalah propaganda Barat bagi menghalalkan penukaran rejim di Iraq.

Wartawan BH, Ahmad Zaini Kamaruzzaman bersama jurugambar NSTP, Kamaruddin Ahmad ditugaskan menghantar laporan berita di Ramadi ketika tugasan liputan penaklukan tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat ke atas Iraq pada 2003.

BH juga membuat liputan di zon bencana antaranya gempa bumi Iran, tsunami Aceh (2004), letusan Gunung Merapi di Yogyakarta (Indonesia) 2010, Taufan Haiyan di Tacloban (Filipina) 2013, gempa bumi Nepal (2015) dan liputan insiden kebocoran loji nuklear di Fukushima, Jepun (2011) yang menyaksikan wartawan BH dihantar ke kawasan dicemari radiasi nuklear itu.

BH juga menjadi media tempatan terawal memasuki 'Ground Zero' tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh di Donestk, timur Ukraine pada Julai 2015. Wartawan BH, Hardi Effendi Yaacob ditugaskan membuat liputan melaporkan insiden itu yang terburuk dalam sejarah industri penerbangan dunia.

Yang turut berpeluang membuat liputan di wilayah konflik ialah Minarni Mat Saad, satu-satunya wartawan wanita BH yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Damsyik, Syria pada 2014 dan berjaya memasuki Kem Pelarian Yarmouk yang dikepung lebih tujuh bulan oleh tentera menyebabkan penduduknya kebuluran.

Wartawan BH, Syed Azwan Syed Ali bersama sukarelawan Mercy Malaysia dihantar menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Syria yang memasuki wilayah konflik Damsyik, melalui sempadan Lubnan-Syria, pada Februari 2015. Pasukan sukarelawan terbabit turut memasuki Kem Pelarian Yarmouk yang dikepung tentera kerajaan melalui pintu masuk Yalda.

BH menyertai misi 'Food Flotilla For Myanmar' (FFFM) yang belayar selama 21 hari bermula 3 Februari lalu, bagi menghantar bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya.

Terbaru, wartawan Mohd Nasaruddin Parzi menyertai 50 media antarabangsa berkunjung ke kem pelarian Syria di Turki Jun lalu bagi melihat usaha kerajaan negara itu menyediakan kemudahan infrastruktur kepada pelarian.

Ketika Dasar Aparteid di Afrika Selatan mahu dihapuskan, BH adalah akhbar pertama dari Malaysia membuat liputan. BH ketika itu menghantar wartawannya di London,

Abdul Rahim Zain pada akhir 1991 bagi memberi gambaran mengenai keadaan sebenar kehidupan di negara yang hampir rapuh kemanusiaan kerana pemerintahan aparteid atau berdasarkan warna kulit.

Sepanjang hampir dua minggu di sana, Abdul Rahim antaranya melaporkan bahawa separuh daripada 31 juta penduduk - semuanya kulit hitam - berada dalam kategori merempat, manakala 80 peratus penduduk di kawasan yang dipanggil tanah air (homeland) iaitu Transkei, Bophuthatswana, Venda dan Ciskei, berada pada paras miskin.

Krisis kemanusiaan di Eropah

Pada akhir 1990-an, wartawan BH dihantar ke Eropah untuk melaporkan krisis kemanusiaan mengenai penindasan dan pembunuhan orang Islam di Kosovo dan Bosnia Herzegovina. Laporan berita menunjukkan Malaysia menyatakan pandangan lantang dalam isu itu.

Ketika krisis Perang Teluk 1991, wartawan BH dihantar ke lokasi untuk mengupas isu peperangan menggemparkan dunia, selain terus menerus menghantar wartawan dan jurugambar ke negara di Asia Barat dan Afrika.

Berita Harian X