Ahad, 2 Julai 2017 | 3:23pm

Unit Ekonomi cetus minat terhadap kewangan, bisnes

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Program Minggu Amanah Saham Malaysia di Dewan Hajah Tuminah, Kampung Sungai Nipah Darat, Rungkup, Perak, 19 Mac 2016. - Foto L Manimaran
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Program Minggu Amanah Saham Malaysia di Dewan Hajah Tuminah, Kampung Sungai Nipah Darat, Rungkup, Perak, 19 Mac 2016. - Foto L Manimaran

SEJAJAR dengan proses pembangunan negara selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, bidang ekonomi selain sosial dan pendidikan, semakin menjadi agenda penting kerajaan dalam memacu kemajuan negara.

Dalam menyebar luas pelbagai maklumat berkaitan dasar ekonomi yang dilaksanakan kerajaan, khususnya Dasar Ekonomi Baru (DEB), media massa termasuk akhbar memainkan peranan penting dalam menyalurkan berita mengenai dasar berkenaan kepada rakyat di seluruh pelusok negara.

Menyokong aspirasi kerajaan itu dan bersandarkan kesedaran pengurusan mengenai tanggungjawab dalam menyebarkan seluas mungkin ilmu dan maklumat kepada pembaca, terutama orang Melayu, BH (Berita Harian) muncul akhbar berbahasa Melayu pertama menyediakan halaman khusus untuk berita berkaitan ekonomi dan perniagaan.

Halaman harian khusus ekonomi buat pertama kali diterbitkan pada 2 Disember 1982 yang ketika itu dikenali 'Usahaniaga', bertujuan memberikan pendedahan, kefahaman dan mendidik pembaca mengenai pelbagai isu ekonomi dan perniagaan dalam dan luar negara.

Ia juga bagi dijadikan medium untuk menyalurkan pelbagai maklumat ekonomi dan perniagaan seperti sumber pembiayaan, peluang, saluran pelaburan, khidmat kewangan, perbankan dan maklumat mengenai urus niaga saham.

Siar pelbagai berita

Halaman khusus ekonomi itu menyiarkan pelbagai berita mengenai perkembangan ekonomi dan perniagaan, namun ketika itu ia tidak disiarkan setiap hari, sebaliknya, hanya diterbitkan jika ada isu berkaitan.

Malah, sebelum pengenalan halaman khusus itu, kewartawanan ekonomi dalam akhbar ini mula berputik sejak 1970-an.

Seterusnya, ruangan 'Usahaniaga' diberi penambahbaikan dengan memperuntukkan dua muka surat setiap hari untuk menyiarkan berita mengenai ekonomi dan perniagaan. Ia turut menyediakan laporan harga pasaran saham harian serta pelbagai maklumat perniagaan dan ekonomi dalam dan luar negara.

Dekad 1990-an pula memperlihatkan keutamaan terus diberikan kepada liputan berita ekonomi dengan bilangan muka surat ditambah kepada tiga, manakala laporan pasaran saham diperbanyakkan.

Serentak dengan pelancaran imej baharu Berita Harian pada 1991, halaman ekonomi diberi nama baharu dengan dikenali sebagai Ekonomi, bertepatan dengan skop liputannya yang lebih komprehensif.

Sejajar pertambahan minat pembaca, corak kewartawanan di Unit Ekonomi terus maju setapak lagi dengan pelancaran Berita Ekonomi, sisipan mingguan yang membincangkan secara mendalam sesuatu topik khusus dalam ekonomi negara.

Pada 1994, Unit Ekonomi terus berkembang apabila ia yang pada mulanya diterajui hanya seorang pengarang diperkukuhkan lagi dengan pelantikan Penolong Pengarang Ekonomi. Unit Ekonomi sekali lagi diberi kepercayaan menerbitkan sisipan - Berita Hartanah, khusus membicarakan mengenai sektor itu secara mendalam, setiap Rabu pada akhir 1990-an.

Mulai Julai 2006, Unit Ekonomi diberi tanggungjawab mengendalikan 'Berita Komputer' setiap Isnin, Rabu dan Jumaat. Bagaimanapun, mulai Mei tahun itu, Berita Komputer diubah menjadi 'Gajet' dan disiarkan dalam sisipan Sabtu.

Terkini, sejajar perkembangan pesat bidang ekonomi yang turut merangkumi sektor kewangan, korporat dan teknologi seperti kemunculan industri Teknologi Kewangan (Fintech), internet kebendaan (TOT) dan sebahagian, sejak dua tahun lalu ruangan ekonomi akhbar dikenali sebagai BH Bisnes.

Liputannya kini lebih menyeluruh dengan melaporkan pelbagai berita ekonomi am, perniagaan, kewangan dan korporat tempatan serta global. Antara ruangan khas disediakan, termasuk 'Nadibiz' pada setiap Isnin yang mengetengahkan rahsia kejayaan pemilik syarikat baharu dalam mengemudikan perniagaan mereka.

BH Bisnes juga menyediakan ruangan 'Gajet' setiap Rabu, yang melaporkan pelbagai perkembangan industri berkaitan teknologi maklumat (IT) dan teknologi, termasuk pelancaran baharu telefon bimbit, kamera, kelengkapan, gajet dan sebagainya.

Nilai tambah kepada pembaca

Dalam usaha memberi nilai tambah kepada pembaca, akhbar ini turut menyediakan kolum khas hasil tulisan penulis tamu berpengalaman dan pakar, antaranya 'Bicara Ekonomi' pada setiap Selasa serta 'Saham & Anda' setiap Isnin.

BH Bisnes kini juga menerbitkan sisipan iaitu BHAuto (setiap Jumaat) yang melaporkan pelbagai berita/isu berkaitan pemotoran dan Hartanah (setiap Sabtu) yang melaporkan pelbagai berita/isu berkaitan sektor hartanah.

Ternyata, menerusi pelbagai berita/laporan, kolum serta sisipan yang disediakan dalam BH Bisnes, akhbar ini banyak membantu membuka mata dan minda masyarakat, khususnya Bumiputera terhadap dunia bisnes dan perniagaan.

Paling ketara, ketika zaman 'melambung' pasaran saham tempatan sekitar awal dan pertengahan 1990-an, akhbar ini banyak membantu rakyat negara ini 'celik saham' menerusi tawaran awam permulaan (IPO), khususnya dua syarikat utiliti negara - Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Bagi membimbing orang ramai mengenali saham syarikat yang mereka mohon, ruangan ekonomi akhbar ini dari semasa ke semasa menyiarkan pelbagai berita dan perkhidmatan korporat syarikat terbabit, iaitu daripada pelancaran prospektus, pengundian saham hinggalah penyenaraian di Bursa Malaysia.

Menerusi sisipan BHAuto, orang ramai pula diberi tip dalam membuat pilihan untuk membeli kenderaan menerusi segmen pandu uji yang dikendalikan wartawan permotoran BH Bisnes.

Sisipan Hartanah menyajikan pembaca dengan pelbagai pelancaran baharu dan tip untuk membeli rumah idaman, seperti pemilihan lokasi serta harga.

Dalam memastikan BH Bisnes terus relevan dan menyalurkan pelbagai berita ekonomi terkini, unit ini kini diperkuatkan oleh seorang pengarang, penolong pengarang dan eksekutif, serta dibantu sembilan wartawan.

Berita Harian X